diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

Oct 21, 2010

Antara Cinta dan Kasih

Cerita bersiri ini hanya rekaan. Sedikit adaptasi dari kisah seseorang untuk dijadikan tatapan. Plot dan jalan ceritanya telah diubah mengikut kesesuaian. Selamat membaca.

Bab 1: Malam Tanpa Bulan


Malam itu gelap sekali. Sang bulan bagai segan mahu menunjukkan wajah. Bunyi cengkerik dan sahutan si kodok silih berganti. Bagai sebuah pesta penuh dengan bunyi alam. Hanya gelita yang mencacat suasana.

Dari arah sebuah rumah kelihatan dua kelibat kecil berjalan perlahan. Senyap dan tanpa sebarang suara. Seorang berjalan di hadapan, memimpin seorang lagi yang mengekor dari belakang. Lantas yang di hadapan berhenti tiba-tiba seraya membetulkan seliparnya yang tercabut dek tersekat di celah rumput menjalar. “Kak Ecah, Ayim takut. Gelap sangat ni,” rengek si Ayim lantas membetulkan songkoknya yang hampir menutup mata itu. “Janganlah takut Ayim, akak kan ada. Nanti akak hantar Ayim sampai rumah ya? Pegang Al-Quran tu kuat-kuat,” pujuk Ecah. Ayim hanya mengangguk tanpa melepaskan hujung baju Ecah yang digenggamnya erat sambil sebelah tangan lagi mengelek erat kitab suci Al-Quran.

Selepas melalui beberapa buah deretan rumah, Ecah menukar haluan ke sebuah simpang di sebelah kanan jalan. Tangan Ayim masih belum dilepaskan. “Assalamualaikum Cik Epah, ooo Cik Epah!”jerit Ecah di muka pintu sebuah rumah berwarna hijau tua. Beberapa ketika salam disahut dan pintu dibuka. Muncul seorang wanita separuh umur. “Masuklah dulu Ecah” pelawa Cik Epah. “Tak apalah Cik Epah. Mak suruh Ecah balik cepat lepas mengaji. Kerja rumah tak siap lagi,” Ecah terpaksa menolak. “Baiklah, kirim salam pada mak. Terima kasih ya tolong hantarkan si Ayim ni. Dah masuk darjah satu pun masih penakut lagi,” sindir Cik Epah kepada Ayim. Ayim hanya tersengih menampakkan giginya yang rompong itu. Ecah berlalu pergi sambil melambai kepada Cik Epah dan Ayim. Laju dia mengatur langkah menuju ke rumah. Kalau kerana tidak memakai baju kurung, mahu sahaja dia berlari sekuat hati. Malam gelap begitu bisa mendirikan bulu romanya. Hanya di depan Ayim takutnya tidak ditunjukkan.

Bersambung…

baru-baru ini heboh di UTP apabila sebuah akhbar utama tempatan menyiarkan sebuah artikel yang menjejaskan reputasi serta nama baik institusi ini. akhbar tersebut, Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertarikh 10 Oktober 2010 bertajuk "Kreativiti Menipu, Tronoh jadi Toronto" karangan Noraini Abd. Razak bukan setakat menyatakan kekesalan, malahan dilihat secara sengaja menyerang kredibiliti UTP sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta terkemuka negara.

artikel itu ditulis sebagai membalas tindakan seorang pelajar UTP yang secara sengaja menghantar maklumat palsu untuk ruangan "Salam Perantauan" akhbar terbabit bagi terbitan 21 September 2010. sememangnya gambar yang dihantar itu dirakamkan di UTP, dan bukanlah di Toronto seperti yang dikhabarkan. difahamkan bahawa rakaman gambar tersebut pada asalnya hanya sekadar suka-suka tanpa ada niat untuk dihantar ke ruangan "Salam Perantauan". namun ceritanya mula berubah apabila seorang daripada kumpulan terbabit mengirimkan gambar ini kepada pihak Utusan Malaysia. secara peribadi saya berpendapat tindakan ini adalah salah walau dilihat dari sudut manapun kerana terdapatnya unsur penipuan.

cerita ini semakin mendapat tumpuan apabila ramai penulis blog menjadikannya sebagai bahan liputan di dalam blog-blog mereka. baik yang bersetuju mahupun yang tidak bersetuju, cerita ini terus-menerus disampaikan melalui internet sehinggalah tersebar ke dalam Facebook. kebanyakannya mempersoalkan kredibiliti Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang telus dalam menyampaikan sesuatu berita. dalam menangani situasi ini, pihak Utusan melalui artikel yang saya nyatakan di atas menyatakan bahawa gambar-gambar dalam ruangan "Salam Perantauan" diterbitkan atas dasar kepercayaan. malah adalah hampir mustahil untuk mereka menghubungi setiap institusi yang dinyatakan bagi memastikan kesahihan setiap gambar yang bakal diterbitkan. saya tidak menyebelahi sesiapa dalam hal ini kerana kedua-dua pihak mampu memberikan hujah yang saya kira boleh diterima.

sebagai seorang pelajar UTP, saya berasa agak terpukul dengan artikel saudari Noraini. beliau dengan mudah meletakkan kesalahan tersebut kepada kumpulan pelajar itu. sedangkan yang punya angkara hanya seorang atau dua paling lebih. mungkin saudari Noraini tidak sedar tindakan beliau itu akan memberi suatu salah tanggapan dalam masyarakat. lebih mendukacitakan apabila gambar asal disiarkan bersama artikel balas tersebut. bayangkan apabila pelajar-pelajar yang berada dalam gambar tersebut akan menamatkan pengajian mereka nanti. mereka akan mula mencari pekerjaan dan mengikuti beberapa siri temuduga. bagaimana kalau bakal majikan mereka berjaya mengecam pelajar tersebut? mereka akan berdepan risiko tidak diterima bekerja atas sebab "rekod menipu". sedangkan pada hakikatnya, hampir semua mereka tidak bersalah langsung! tindakan saudari Noraini ini secara langsung merosakkan kredibiliti pelajar-pelajar tersebut serta menimbulkan fitnah dalam masyarakat. sedangkan mereka yang terdapat dalam gambar adalah pelajar-pelajar yang baik dari segi akademik serta sahsiahnya. mungkin atas dasar ingin berseronok, salah seorang daripada mereka telah melanggar etika. hukuman mungkin boleh dikenakan kepada beliau, tetapi saya kira beliau sudah beroleh pengajaran berharga dari apa yang beliau lakukan, dan kemaafan itu sesungguhnya lebih bermakna dari hukuman.

seterusnya saya berasa agak terkilan apabila saudari Noraini seperti seakan mahu menyalahkan pihak UTP secara keseluruhan. habis disebut semua dari ibu bapa sehinggalah pihak penaja. adakah itu suatu tindakan yang perlu? adakah sebenarnya saudari ingin katakan kesalahan pelajar tersebut diwarisi dari pensyarah atau pihak pengurusan UTP? atau adakah sebenarnya saudari cuba menimbulkan sentimen "stereotyping" di sini dengan mengatakan warga UTP adalah penipu belaka? saya bukanlah seorang yang arif dalam bidang penulisan, namun berdasarkan pembacaan saya terhadap tulisan saudari, saya kira saudari menulis dalam keadaan penuh beremosi. saya tidak berniat untuk mempersoalkan kewibawaan saudari sebagai "orang surat khabar". malah berdasarkan tulisan saudari tersebut, saya begitu kagum dengan usaha saudari serta krew-krew "Salam Perantauan" yang lain kerana begitu komited dalam menjayakan ruangan itu walau tidak dibayar elaun khas. namun begitu gaya penulisan saudari dalam artikel tersebut kelihatan seperti mahu membalas dendam serta menutup kelemahan yang saudari lakukan. sedikit pun saudari tidak memberi kenyataan maaf walaupun saudari sendiri akui telah menyiarkan gambar yang tidak tepat maklumatnya. saya tidak langsung mempunyai pengetahuan dalam bidang penerbitan, namun berdasarkan pemerhatian saya, pihak penerbit biasanya akan memohon maaf jika mereka ada melakukan kesilapan dalam terbitan mereka, walaupun tidak ada pembaca yang perasan akan kesalahan tersebut. namun tidak pada saudari. saudari lebih selesa bercerita kesalahan orang lain berbanding kelemahan saudari sendiri.

saya bukanlah orang yang ada kaitan dengan gambar kontroversi tersebut. sepatutnya saya boleh sahaja untuk tidak menulis entri ini. malah saya mengambil risiko dengan mengkritik seorang yang suaranya boleh didengari di seluruh negara. tetapi inilah dia pelajar UTP. kami telah dididik dengan rasa tanggungjawab. tanggungjawab terhadap teman, tanggungjawab terhadap kebenaran. penerapan modal insan yang saudari katakan itu telah lebih sedekad kami amalkan di sini sejak UTP mula ditubuhkan. integriti itu menjadi pati dalam setiap tindakan yang dilakukan. cuma dalam proses melalui penerapan modal insan itu, pasti ada masanya diuji dengan konflik-konflik yang melibatkan soal etika. kami akui kesilapan di peringkat kami, dan kami telah pun memohon maaf. saudari bila lagi?




p/s: pautan untuk ke entri ini telah diemel ke emel saudari Noraini pada petang 14 Oktober 2010. semoga beliau dapat membaca apa yang saya tuliskan.

Sep 24, 2010

Kord Yang Pemalas

ya, aku memang pemalas. dah lama aku tak menulis sebab malas. idea nak menulis bukan tak ada. ada, tapi kadang-kadang aku buntu macam mana nak menulis. bukan senang nak fahamkan orang sesuatu yang kita tahu dan faham. maka, dialog berikut sering kita dengar:

"ala, yang macam ni tu"
"ala, yang gitu-gitu la"
"ala, dia macam ni sikit lepas tu macam tu pulak, kau faham tak?"

sebenarnya banyak benda yang aku nak tulis. dari Piala Dunia 2010 kelmarin sehinggalah Aidilfitri yang masih lagi terasa kehangatannya ni. termasuklah kes pembunuhan kejam terhadap jutawan wanita Melayu, Allahyarhamah Sosilawati.

kalau aku tulis pasal Piala Dunia 2010 sekarang, orang akan kata aku ketinggalan zaman dan suka tulis benda basi. tapi kalau aku tulis empat tahun lagi sejurus sebelum Piala Dunia 2014 berlangsung, orang akan kata aku pencinta sejarah. sama juga kalau aku berjalan-jalan dengan beg tangan wanita di khalayak, orang akan kata aku pondan, gila, dan sengal. tapi kalau Dhafi, Syahir, Beckham, ataupun Lee Dong Wook yang buat perkara serupa, orang akan kata, "wah, inilah dia trend semasa lelaki metroseksual!". jadi, empat tahun lagi tolong ingatkan aku untuk tulis entri pasal Piala Dunia 2010.

tentang raya kali ni pun tak banyak yang aku nak cerita. seronok berada bersama keluarga dan berjumpa sanak saudara serta heboh dan hiruk dengan kawan-kawan. gila-gila tetap macam dulu, cuma kali ini dengan versi lebih matang. cuma aku tertanya-tanya, lepas masing-masing membina hidup sendiri nanti akan begini lagikah? besar sungguh hikmah Ramadhan dan Syawal kalau kita mahu membuka minda. oh ya, raya kali ni aku demam. tak ingat raya keberapa, tapi bukanlah teruk sangat. orang lain sibuk makan kuih, aku pulak sibuk makan dadah.

pasal kes pembunuhan tu pulak, aku tak berniat nak komen lebih-lebih. sebab aku tau kalau aku cakap banyak, nanti orang tuduh aku racist. tapi itulah hakikat yang aku rasa. yang paling aku kesal, pembunuhan ni berlaku sewaktu raya. lantas menambahkan tahap ke'racist'an nya. semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang beriman.

sekarang kita masuk kes BENDERA pulak. BENDERA adalah sekumpulan LEMBU. full stop.




p/s: entri kali ni aku gunakan "aku" sebagai kata ganti diri. ia memberi satu rasa berbeza ketika menulis walau dengan hanya mengubah dari "saya" ke "aku". linguistik memang misteri.




ok, tadi terpandang bulan. tak sangka pula malam ini bulan penuh. cantik! itu pada pandangan pertama. pada pandangan kedua, ketiga, dan seterusnya ia tetap cantik. tapi itu pada pandangan. apa pula pada hakikinya?

menurut bukti ilmu alam atau sains, bulan itu taklah secantik mana. berlubang-lubang, penuh dengan kawah, dan tanpa sebarang habitat hidupan. tapi dari sudut pandangan di atas bumi, keburukan dan kejelikan bulan itu ditutup dengan sinar keindahannya. kuning keemasan, bersinar, dan menerangi dalam kegelapan malam. nyata, yang menampakkan bulan itu indah tetap adalah kepekatan malam. bulan itu mesti dipasangkan dengan malam.

tetapi manusia masih mahu mengatakan dan mempercayai bulan itu cantik, walau mereka tahu dan juga percaya bukti saintifik bahawa bulan itu tidak cantik. adakah kerana manusia lebih mempercayai apa yang ada pada pandangan mata? atau manusia lebih memandang kebaikan sesuatu lebih dari keburukannya?

para saintis bersepakat mengatakan tiada sebarang hidupan yang berhabitat asal di bulan. tetapi seketika heboh juga penemuan molekul air (H2O) di bulan. dengan penemuan molekul itu, timbul teori mengatakan terdapat hidupan primitif di bulan. mungkin dalam bentuk sel atau bakteria. kerana saintis berpegang kuat pada kepercayaan "tradisional moden" bahawa asas benda hidup adalah air. ada air, adalah kehidupan. jadi bagaimana kalau wujud hidupan yang tidak memerlukan air untuk hidup? tak layakkah ia digelar hidupan? kes serupa terhadap deklarasi virus sebagai benda hidup. hanya kerana ia tidak mengamalkan sebahagian dari fungsi hidupan, ia masih tidak diiktiraf sebagai benda hidup hingga kini.

jadi jelas bahawa manusia sewenang-wenangnya mengkelaskan sesuatu mengikut hati budi mereka. itu cantik, ini tidak. itu baik, ini buruk. malah manusia juga tak pernah mencapai kesepakatan atas sebahagian perkara. hal ini kerana wujud satu perkara dalam diri setiap manusia yang dipanggil "persepsi" atau kadang-kadang boleh dipanggil "perspektif". bahasa mudahnya mungkin boleh dipanggil "pandangan".

perbezaan atau pertindihan persepsi ini biasanya akan menerbitkan konflik antara pihak terlibat. ambil kes kahwin lari sebagai contoh. ada pendapat mengatakan kahwin lari adalah perbuatan tidak baik kerana tidak mendapat persetujuan keluarga. namun terbit juga pendapat, kahwin lari diharuskan bagi mengelakkan gejala maksiat yang lebih teruk. lebih baik kahwin lari dari berzina. mungkin betul juga. justeru, pendapat mana yang mahu kita pakai?

nah, sebenarnya saya dah merepek jauh! asalnya cerita bulan, kemudian masuk cerita hidupan, kini melalut pula sampai kahwin lari. bila jari menaip lebih laju dari otak berfikir, inilah jadinya (hanya sekadar hiperbola).saya rasa ada eloknya kalau saya beri kesimpulan untuk entri kali ini.

setiap manusia bebas untuk punya pandangan sendiri, asalkan ia tidak bertentangan dengan norma-norma kehidupan serta fitrah yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Agung. pertindihan pendapat itu boleh mendatangkan keuntungan sekiranya diadun dengan betul, tetapi boleh juga mendatangkan bencana jika emosi dan amarah dibawa sekali dalam perbincangan. justeru, gunakan akal dengan bijaksana dalam mentafsir segala proses yang berlaku dalam urusan kehidupan. jangan kerana desakan nafsu, fungsi akal yang waras itu dikesampingkan demi memuaskan tuntutan nafsu yang berhaluan kiri. cuma kita perlulah berusaha untuk mencapai keberkesanan akal yang optimum. keberkesanan akal itu terkandung dalam ayat keenam pada yang pertama (tafsiran sendiri).

pernah suatu ketika, apabila saya sedang makan-makan bersama beberapa orang kawan di sebuah kafe, kami dikejutkan dengan satu peristiwa yang menyayat hati. seekor anak kucing yang masih kecil terjatuh dari atap kafe terhempas ke lantai. ia menguit-nguit seketika dan akhirnya mati di situ juga. lehernya patah. tidak berapa lama kemudian, datang ibu kucing tersebut, lalu membawa anaknya yang telah mati itu ke tempat asal mereka, di samping adik-beradik yang lain. apa yang terjadi selepas itu tak dapat saya pastikan.



gambar hiasan

saya mungkin tak memahami bahasa haiwan, tapi saya rasa saya faham naluri ibu kucing itu. ia tak akan datang untuk mengambil bangkai anaknya jika ia tak punya perasaan kasih sayang. ibu kucing itu mungkin tidak menangisi kematian anaknya, tapi saya yakin ia sedih atas kehilangan anaknya. ibu kucing itu mungkin tak punya akal, tapi saya yakin ibu kucing itu punya naluri kasih sayang. ibu kucing itu mungkin seekor haiwan, tapi sifat kasih sayangnya memberi tauladan kepada kita manusia yang punya akal.

tapi rupa-rupanya masih ada manusia sekarang yang lebih rela menjadi pembunuh. jangan terkejut kalau setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita kes pembuangan bayi. tambah menyedihkan apabila insan-insan suci ini dilayan lebih teruk dari binatang. sampaikah hati kita melihat wajah-wajah tak berdosa ini dilonggokkan bersama dengan sampah-sarap? sampaikah hati kita melihat mayat mereka mereput dan lunyai dimakan ulat? sampaikah hati kita mendengar tangisan mereka yang sudah tak bersuara? mengapa sebegitu rupa layanan yang mereka terima? adakah nyawa mereka sudah tak ada nilainya sehingga diperlakukan begitu?

sejahat-jahat Yahudi, mereka cuma membunuh anak-anak orang Palestin. mereka tidak membunuh anak sendiri. tapi kenapa orang Melayu kita yang beragama Islam sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini? rata-rata bayi bernasib malang yang ditemui pasti berketurunan Melayu. jarang dari keturunan lain? kenapa? menurut pensyarah saya, di Ipoh sahaja sekurang-kurangnya dua kes bayi yang didaftarkan tanpa ibu bapa berlaku setiap hari. itu di Ipoh sahaja! kalau di seluruh Perak? 1Malaysia? itu sehari. kalau seminggu? sebulan? setahun?

Malaysia semakin menuju kemajuan. majukah?



"we are no different"

tersebut suatu kisah benar ketika saya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman sempena cuti yang tidak berapa panjang, tapi bolehlah juga untuk bersuka-suka sebentar bersama famili. dari tronoh, saya dan beberapa kawan menumpang kereta seorang lagi kawan yang lain sehinggalah ke bukit jalil. dari bukit jalil saya membeli pula tiket bas ekspres menuju terus ke bandaraya johor bahru. tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

untuk dijadikan cerita, saya telah dilamar oleh sebuah syarikat bas ekspres untuk menggunakan perkhidmatan mereka. saya bersetuju tanpa sebarang syarat kerana malas untuk menunggu lama di situ. orang ramai yang berpusu-pusu membuat kepala saya berpusing-pusing ibarat roda impian. maka setelah lamaran mereka itu saya terima, maka naiklah saya ke atas bas mereka. bersih dan selesa. saya tidak menunjukkan sebarang cekadak kerana saya tahu bas itu mampu membuat saya terlena dengan aman dan damai. maka, duduklah saya dengan tenang di atas bas tersebut sementara menunggu ia akan bergerak memulakan perjalanan. sehinggalah seorang penumpang yang saya kira berbangsa pakistan mencemar ketenteraman awam dengan menunjukkan karenah yang bukan-bukan dan menjengkelkan penumpang yang lain. dengan tidak semena-mena, bangun seorang pemuda dari tempat duduk penumpang seraya menyuruh penumpang pakistan itu diam. rupa-rupanya pemuda tersebut merupakan pemandu bas yang kami naiki itu. gaya dan nada suaranya kasar dan bengis memarahi penumpang pakistan itu tadi. situasi itu menambahkan kejengkelan saya. jengkel dengan mat pakistan tadi, juga dengan pemandu bas tersebut. langsung tidak merendahkan suaranya. beberapa ketika, suasana itu reda begitu sahaja dan bas pun bergerak menuju destinasi. dan saya pun tidurlah seperti yang saya hajatkan sejak dari tadi lagi.

kira-kira bas sudah bergerak separuh perjalanan, tiba-tiba saya terjaga dari lena dan tak boleh tidur semula. entah telefon siapa asyik berdering-dering. selaku rakyat yang prihatin, saya toleh kiri dan kanan untuk memastikan dari mana datangnya nada dering yang begitu membingitkan tadi. rupa-rupanya telefon si pemandu bas. wah, hebat gayanya! stereng dipegang dengan siku, telefon pula dipegang dengan pipi, sambil tangannya saya lihat mengurut-ngurut manja dadanya. saya kagum dengan kecekapannya bercakap di telefon sambil memandu. tetapi sebenarnya rasa menyampah lebih menguasai diri pada ketika itu sambil dalam hati berkata, "bahaya la samdol, drive camtu! dah lama hidup ke?!!". tapi belum sempat saya meneruskan makian dalam hati, saya dapati gelagat pemandu itu amat berlainan sekali dengan tadi. kalau tadi dialah samseng malaya, tapi kini saya boleh gelarkan dia "Pemandu Bas Paling Jiwang Tanah Air". mari ikuti sedutan perbualan beliau di telefon:

pemandu: abang tgh bawak bas ni, sayang.on the way nak pi johor.
"sayang": ..........(manalah saya boleh dengar!)
pemandu: yala, nanti abg baliklah ya. esok lusa ka. nanti kita jumpa la.
"sayang": ...................
pemandu: tu la...abg pun rindu kat sayang. dah makan?
"sayang": ....(mungkin jawapan yang diberikan ialah "belum")
pemandu: la,awat tak makan lagi? nanti perut masuk angin. sayang pi la makan ya. top up ada lagi? kalau dah habis bagitahu la ya. nanti abg top up kan.
"sayang": .....................
pemandu: ya, ya, i love you too...muuah muuah!

ok, saya tipu. "muuah muuah" tidak ada dalam dialog mereka. saya hanya menambah perisa. tapi perbualan mereka membuatkan saya tergelak (dalam hati). "muka ganas, hati dalam ada taman tasik titiwangsa!", itu kata hati saya. tadi punyalah garang, sekarang dah jadi jiwang semacam. siap cakap sayang-sayang lagi!

tapi sebenarnya itulah lelaki. walau garang macam mana pun, tetap cair dengan perempuan. seorang pahlawan yang gagah di medan perang membunuh musuh, tetap akan mengalah dengan wanita yang disayanginya. bagaikan ada kuasa mistik, wanita tidak perlu bersusah payah mengangkat senjata untuk menewaskan lelaki. cukuplah kata-kata asmara yang mampu membuat lelaki hilang keegoannya. pepatah juga ada mengatakan, di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada seorang wanita di belakangnya.

persahabatan john terry dan wayne bridge terjejas kerana wanita, reputasi bill clinton merudum kerana monica lewinsky, david beckham mengambil kira pandangan victoria sebelum berpindah ke LA Galaxy, anwar ibrahim berjaya menjadi MP juga kerana azizah rela melepaskan kerusinya. begitulah antara beberapa contoh mudah yang boleh kita dapati kesan pengaruh wanita terhadap seseorang lelaki.

justeru, marilah kita menjadi normal. kalau sudah menjadi lelaki, biarlah tetap lelaki sehingga ke akhir hayat. janganlah pula diubahsuai mengikut spesifikasi sendiri. cukuplah apa yang ada. ok, sampai sini sahaja yang saya nak katakan. (apa punya moral of the story ni??)



"love you, jijah" says Anwar


saya dibesarkan dalam sebuah keluarga melayu, di sebuah kampung yang majoriti penduduknya melayu, bersekolah di sekolah yang hampir tiada bukan melayu, dan sejak kecil lebih selesa berkawan dengan orang melayu. dan apabila dah meningkat dewasa ni, barulah mula berjinak-jinak untuk berkawan dengan kawan2 bukan melayu. saya rasa ini adalah situasi normal bagi kebanyakan orang di malaysia, tak kira apa bangsa pun. hakikat itu perlu diakui.

bukan mudah sebenarnya untuk berkawan dengan orang yang lain kepercayaan dengan kita sebenarnya. lain bangsa, lain agama, dan lain budaya. tutur patah perkataan yang diucap harus dijaga agar tidak menyinggung perasaan mereka. malah kita juga pasti mudah tersinggung apabila kawan2 yang tidak sebangsa dengan kita meluahkan kata2 yang kita sifatkan sebagai menghina kepercayaan kita.

kebelakangan ni jika kita buka Facebook, pasti kita akan terjumpa group2 yang berunsur keagamaan. dan kebanyakan darinya bertujuan untuk mempertahankan kesucian agama masing2 apabila kepercayaan mereka diperlekehkan, kata mereka. group2 seperti ini mendapat sambutan yang begitu hangat dari orang2 melayu kita di Facebook.

namun sebenarnya saya agak menyampah dengan kewujudan group ini. kerana apa? kerana komen2 yang terdapat dalam group tersebut adalah sangat menjengkelkan dan membuat saya rasa sangat meluat. saya faham dengan semangat mereka untuk mempertahankan dan membela agama sendiri, tapi tak perlu saya rasa untuk keluar perkataan yang memaki hamun. saya tak rasa yang makian mereka itu mampu memberi kesan kepada sesiapa pun. lagak mereka seperti pejuang Islam yang bersenjatakan jari-jemari yang pantas menaip di keyboard komputer dengan perkataan2 yang sangatlah tak bertamadun. Fisabilillah kata mereka. hah, begitukah caranya?! agaknya mereka tak sedar yang kelakuan mereka itu membuatkan agama mereka semakin dipandang serong masyarakat umum.

sepatutnya mereka sedar akan kesan internet terhadap perpaduan masyarakat di negara kita. saya bukanlah mahu menjadi seorang negarawan mahupun ahli politik, tapi sekurang2nya saya tahu bahawa internet itu mampu memberi kesan buruk terhadap kita. provokasi2 yang ditimbulkan di internet itu pada hemat saya hanyalah permainan anak2 yang belum cukup umur. jadi wajarkah kita melayan perangai anak2 dengan bersikap keanak-anakan? saya juga bukanlah seorang melayu yang sejati dari segi kata dan tingkah laku. kadang rasa amarah itu ada juga apabila terlihat sesuatu yang menghina agama saya di internet. tapi saya kira sebelum kita perbetulkan persepsi orang bukan Islam terhadap Islam, apa kata kalau kita perbetulkan diri kita dahulu? bukankah itu lebih molek? sebelum kita mahu berbicara erti perjuangan, apa kata kalau kita kaji makna perjuangan itu dahulu? bukankah itu lebih elok?

kita tak mahu orang lain menghina kita. justeru, kita juga tak sepatutnya menghina orang lain. biarkan politik itu berada dalam dunia mereka sendiri. orang politik bebas untuk berbicara apa sahaja yang mereka fikirkan boleh membantu dalam perjuangan politik mereka. saya lebih selesa berkawan sesama melayu. tetapi saya juga mahu berkawan dengan orang cina, india, iban, kadazan, dusun, melanau, dan orang asli.