diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

HOOORRAAAYYYYYYYY!!!!!

Aku rasa jeritan itu dah cukup untuk membayangkan perasaan aku sekarang. Puas, gembira, teruja, malah terharu. Ini semua kerana kejayaan pasukan bola sepak negara kita, Harimau Malaya menjuarai Kejohanan Piala AFF-Suzuki untuk edisi 2010 kali ini. Walaupun tumpas 1-2 di kandang berhantu Indonesia, Stadium Gelora Bung Karno dalam perlawanan akhir kedua semalam, namun bekal kemenangan 3-0 pada perlawanan akhir pertama di Bukit Jalil tempoh hari sudah lebih dari cukup untuk kita menjulang piala tersebut buat pertama kalinya sejak dipertandingkan 14 tahun yang lalu. Pencapaian terbaik kita sebelum ini adalah sebagai naib johan apabila tewas kepada Thailand 0-1 pada edisi 1996.

Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih kepada skuad bimbingan K. Rajagobal kerana berjaya mengharungi kancah Piala AFF-Suzuki kali ini dengan jayanya sehingga bergelar JUARA, walaupun skuad ini hanya dibarisi pemain muda. Malah purata umur pemain Malaysia adalah yang paling rendah jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain iaitu kurang daripada 23 tahun. Nama-nama seperti Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad, Mahalli Jasuli, dan Fadhli Shas merupakan antara pemain-pemain muda negara yang beraksi kental dalam mempertahankan maruah pasukan kebangsaan. Namun begitu kelibat pemain-pemain senior seperti Amri Yahyah dan Safee Sali juga memberi impak yang signifikan terhadap skuad kebangsaan. Amri telah menjaringkan dua gol walaupun hanya beraksi selama 137 minit. Manakala Safee pula dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 5 gol, walaupun tanpa sebarang gol ketika aksi kumpulan. 2 gol ketika menentang Vietnam di separuh akhir pertama, 2 gol menentang Indonesia ketika aksi final pertama, dan 1 gol ketika aksi final kedua. Namun begitu, sumbangan pemain-pemain lain juga tak dapat dinafikan. Bola sepak adalah permainan yang memerlukan sebuah pasukan sebagai satu unit. Kemahiran individu sahaja tidak mencukupi tanpa kerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi.

Khairul Fahmi Che Mat atau dikenali juga sebagai Apek merupakan antara pemain Malaysia yang paling menonjol untuk kejohanan pada kali ini. Persembahan nya yang cemerlang dalam setiap perlawanan membuktikan bahawa anak muda ini sudah bersedia untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Amat jarang sekali untuk seorang penjaga gol menikmati populariti setanding seorang penyerang kerana posisi ini biasanya tidak terlibat dengan gerakan mencari dan mengasak kubu gol pihak lawan. Tugasnya lebih terarah di pintu gol sendiri, mengawal gawang daripada dibocori musuh. Namun keupayaan beliau menghalang cubaan-cubaan berbahaya pihak lawan telah membuktikan kemampuannya di mata dunia. Malah dalam perlawanan akhir kedua semalam di Gelora Bung Karno, beliau telah menyelamatkan sepakan penalty kapten Indonesia yang juga merupakan pemain paling bernilai kejohanan (MVP), Firman Utina. Beliau yang hanya dibolosi sebanyak 3 kali daripada 6 aksinya di kejohanan ini ternyata menjadi buah mulut rakyat Malaysia. Pagi tadi di radio juga heboh memperkatakan tentang beliau. Fan page Facebook nya juga kini telah mencecah 165, 791 orang peminat setakat post ini ditulis. Jumlah peminatnya naik secara mendadak sejurus perlawanan semalam tamat apabila sekitar jam 12 malam tadi hanya mencatatkan lebih kurang 80,000 orang peminat. Jumlah ini juga dipercayai akan terus meningkat. Malah namanya juga tersenarai dalam top 5 senarai topik terhangat di Twitter. Begitu juga halnya dengan enjin carian Google. Namanya menduduki carian tertinggi untuk carian bermula huruf “kh...”. Ternyata beliau kini sebagai suatu fenomena yang melanda negara.


Namun secara peribadi, terdapat beberapa pemain yang menarik perhatian aku. Selain Khairul Fahmi, nama-nama seperti Safee Sali, Norshahrul Idlan Talaha, Ashari Samsudin, Mahalli Jasuli, Muslim Ahmad, serta kapten pasukan kebangsaan, Safiq Rahim juga aku kira menunjukkan persembahan yang cemerlang. Kejayaan Safee merangkul anugerah kasut emas memang tak dapat dinafikan lagi kehebatannya di barisan serangan. Safiq Rahim serta Ashari Samsudin yang berjaya menjaringkan satu gol ketika menentang Indonesia di Bukit Jalil tempoh hari juga dilihat memainkan peranan yang penting di barisan tengah. Manakala dua orang pemain muda di barisan pertahanan, Muslim Ahmad dan Mahalli Jasuli dilihat begitu kental mengekang asakan musuh. Dan secara peribadi juga aku menobatkan Norshahrul Idlan Talaha sebagai pemain terbaik Harimau Malaya kerana sumbangan-sumbangan nya yang cemerlang di barisan hadapan. Beliau yang beraksi dalam kesemua perlawanan skuad kebangsaan merupakan nadi jentera serangan pasukan. Walaupun hanya menjaringkan dua gol namun hantaran-hantarannya yang berbahaya telah berjaya disempurnakan oleh rakan-rakan sepasukan yang lain seperti Safee dan Ashari.

Di sebalik kemeriahan yang melanda edisi kali ini, terdapat juga cerita-cerita sampingan yang lain. Ada yang enak untuk didengar dan ada juga yang tidak. Yang pertama sekali tentulah mengenai gelagat para penyokong. Heboh diperkatakan mengenai isu laser menjelang perlawanan akhir kedua antara Malaysia dan Indonesia. Isu ini timbul apabila penjaga gol Indonesia, Markus meminta pengadil memberhentikan perlawanan dalam aksi final pertama kerana mendakwa matanya dipancar dengan sinar laser daripada penyokong tempatan. Perlawanan tergendala selama 6 minit dan yang lebih parah apabila media Indonesia dilihat sengaja mengeksploitasi isu tersebut dengan menyiarkan provokasi yang mengundang kemarahan penyokong Indonesia terhadap penyokong Malaysia. Media Malaysia juga dilihat seperti memulang paku buah keras apabila mendedahkan perbuatan penyokong Indonesia ketika aksi di gelanggang sendiri. Malah terdapat juga akhbar-akhbar yang memandang sinis tindakan Markus dengan mengatakan nya sebagai lembik kerana penjaga gol utama negara, Sharbinee Alwi terlebih dahulu telah dipancar dengan sinar laser penyokong Indonesia ketika aksi peringkat kumpulan. Malah Apek juga telah beberapa kali dipancar dengan sinar laser ketika aksi final semalam. Namun tiada sebarang bantahan yang dibuat oleh kem negara. Berikutan isu ini, timbul pula beberapa isu lain yang dilihat sebagai sengaja membangkitkan kemarahan penyokong kedua-dua pasukan. Akibatnya, pemain Malaysia terpaksa dibawa masuk menggunakan Barracuda, kenderaan militari Indonesia ke dalam Stadium Gelora Bung Karno bagi mengelakkan kejadian yang tak diingini. Di Facebook dan Twitter meriah dengan kutukan, tuduhan, dan maki hamun antara penyokong kedua negara. Namun komen-komen negatif dilihat lebih banyak dilemparkan oleh penyokong Indonesia. Penyokong Malaysia pula lebih selesa dengan memberi komen-komen semangat untuk pasukan kebangsaan. Namun ada juga yang dilihat sengaja menganjing atau memprovokasi penyokong Indonesia bagi membangkitkan kemarahan mereka. Dan aku kira perang itu akan bertahan selagi mana Facebook dan Twitter ada di muka bumi ini.

Bagi aku, bola sepak adalah sukan. Sukan adalah perkara yang menyihatkan. Dan perkara yang menyebabkan kerosakan adalah kebodohan. Kita jangan jadi orang bodoh yang hanya bercakap dan menulis berlandaskan nafsu semata. Bola sepak sepatutnya dijadikan medium untuk kita menjalinkan ikatan persahabatan dan bukannya permusuhan. Orang yang bergaduh kerana sukan adalah mereka yang tak punya semangat kesukanan dan tak gentleman langsung. Bambang Pamungkas dan Safee Sali boleh berpeluk lepas game, tak kan kita sebagai penyokong tak boleh?

super team


super coach

super goalie


super scorer


super playmaker


super poyo...hahaha!!





MALAYSIA BOLEH!!



sumber-sumber:


laman web rasmi piala aff-suzuki

blog buah hati Khairul Fahmi yang macam air trafik nya

fan page Khairul Fahmi yang kalau komen tak sampai seminit dah sampai bawah komennya

Google (tak perlu rasanya nak letak link kan?)