diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

Oct 26, 2009

usaha tangga kejayaan?

sebentar tadi saya ada terbaca blog seorang kawan (bobo) mengenai rezeki. dan saya sangat bersetuju dengan apa yang ditulisnya.

ada suatu cerita yang saya suka untuk kongsi bersama, walaupun ia bukan cerita mengenai saya. cerita ini tentang seseorang yang saya kenal (nama terpaksa dirahsiakan bagi mengelakkan beliau menjadi riak).

beliau merupakan seorang pelajar (bekas). kehidupannya di kampus sangat mencabar dan sukar. berbagai ujian yang terpaksa beliau tempuh sepanjang tempoh pengajiannya di universiti. beliau pernah mengaku segala yang terjadi adalah disebabkan kelemahan serta kealpaannya. namun, sebenarnya jasa beliau kepada orang lain amat besar. walaupun diri serba kekurangan, beliau tidak pernah lokek untuk berkongsi apa yang ada. walaupun diri dilanda masalah, beliau tidak pernah jemu untuk menyelesaikan masalah orang lain. walaupun masa depannnya tidak menentu, beliau selalu mengingatkan saya agar mengejar masa depan yang gemilang.

dalam kesamaran dan kekalutan mencari hala tuju, satu peluang telah datang secara tiba-tiba di hadapan mata. saya ada di situ pada ketika peluang itu datang. dan kini, Alhamdu Lillah, beliau berjaya merebut peluang itu. beliau telah diterima untuk bekerja di sebuah syarikat. dan yang lebih bererti, kerja tersebut merupakan kerja yang amat beliau minati. tawaran itu memang datang secara tiba-tiba. bukannya beliau minta, bukannya beliau cari. dalam satu majlis yang tidak berkaitan langsung dengan hal perkerjaan, datang seorang teman bertanyakan kepada beliau jika beliau berminat dengan satu kerja. dan ternyata rezeki itu milik Allah S.W.T dan Dia bebas untuk memberi pada siapa yang Dia kehendaki.

ramai orang berusaha demi mengejar matlamat yang mereka impikan. tetapi berapa ramai yang bergantung hati sepenuhnya kepada Yang Maha Memberi? memang benar usaha itu tangga kejayaan. tetapi siapakah yang memberi kita kudrat untuk mendaki tangga tersebut? ramai orang mengaku mereka bertawakkal setelah mereka berusaha. tetapi sebenarnya mereka bertawakkal atas usaha mereka, bukan Tuhan mereka. jika mereka berjaya, akan terkeluarlah dialog "Tuhan telah memberi aku itu dan ini kerana usaha aku. jika aku tidak berusaha, mustahil lah aku berjaya sebegini." dan jika mereka gagal, ini pula kata mereka "segalanya sudah suratan. lepas ni aku kena berusaha lebih gigih demi kejayaan". ayat-ayat tersebut nampak macam betul. tetapi jangan kerana ayat yang nampak macam betul, kita memperjudikan aqidah kita.

kita perlu sedar yang kita ini tidak lebih dari sebutir habuk di padang pasir yang luas. malah, mungkin lebih halus dari itu. sedangkan kita mampu bernafas ketika jaga dan ketika tidur kerana ihsan Allah terhadap kita, apakan pula gerak yang kita lakukan seumur hidup. saya tidak nafikan yang kita perlu usaha. usaha itu perlu. tapi jangan biarkan usaha itu menutup kebergantungan kita terhadap Allah. usaha, doa, dan tawakkal. gerak usaha itu kurnia dari Allah, qauli, fi'li, dan qalbi doa itu kurnia dari Allah, malah kebergantungan hati kepada Allah itu juga kurnia dariNya. tidak ada satu apa pun lahirnya dari kita. tidak ada satu apa pun.

maafkan saya jika saya salah. saya masih bodoh. betulkan saya.

Oct 17, 2009

mimpi along

beberapa hari lalu, seperti hari-hari lainnya, saya akan tidur seperti biasa. dengan gaya tersendiri serta beberapa bunyi sebagai penyeri malam yang sepi, saya leka dan hanyut dibuai mimpi. namun mimpi saya pada malam itu memberi suatu perasaan yang berbeza dengan lazimnya.

pada peringkat muqadimah, pengembangan, dan klimaks cerita mimpi tersebut tidak perlulah saya ceritakan. ia hanya sekadar mainan tidur dan tiada sebarang makna yang signifikan. cuma yang ingin saya ceritakan adalah pada hujung mimpi tersebut. pengakhiran mimpi tersebut membuat saya terjaga lantas termenung.

hujung mimpi tersebut, saya telah didatangi oleh seorang kanak-kanak perempuan. saya kira umurnya lebih kurang 3 atau 4 tahun. mukanya bulat dan bersih, rambutnya halus dan separas bahu, giginya penuh dan rata, kulitnya putih, matanya bulat dan bersinar. dia datang berlari-lari ke arah saya sambil memanggil saya, "along, along". suka benar dia bila saya belai rambutnya. dan dia sungguh leka bermain-main dengan saya.

tidak lama, saya terus terjaga tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal kepadanya. sejurus terjaga, saya bagaikan terdengar suatu suara, "along, jangan pergi. jangan tinggalkan kita sorang-sorang. kalau along takde, siapa nak main dengan kita. along, jangan pergi." saya tergamam dan termenung. walaupun saya tahu itu hanya mimpi, tetapi suatu rasa sayup dan syahdu terbit dalam diri saya. entah mengapa, saya teringat pada anak kecil itu dan terasa bagaikan dia wujud di alam nyata ini.

mimpi tersebut telah sedikit memberi kesan terhadap kehidupan saya sejak kebelakangan ini. sering saja terasa syahdu bila terkenangkan adik-beradik yang lain. sudah lama tidak ketemu. rupanya bukan senang berpangkatkan dengan nama "abang". dua kata kunci yang sinonim dengan pangkat ini; "pengorbanan" dan "tanggungjawab". oh, ia amat berat! sungguh benar ia amat berat dan sukar.



banyak betul masalah sekarang ni. masalah besar, masalah kecil dan bukan masalah yang dah pun jadi masalah. aku pun tak tahu macam mana gayanya aku nak selesaikan masalah-masalah ni. ada yang boleh aku selesaikan. tapi tiada kesempatan. ada yang berpuluh kali ku cuba, namun tak selesai-selesai, ada pula yang membuat aku menekap muka ke bantal, cuba menghilangkan ingatan aku terhadap masalah tersebut.

aku masih manusia biasa. punya dua tangan, dua kaki, satu akal. mana mampu aku menoleh ke kanan ketika ku menoleh ke kiri. mana mampu aku ketawa dalam aku menangis. aku masih manusia biasa.

tutup cerita keresahan. keluh-kesah ku di atas hanyalah permainan sandiwara nafsuku yang mahu 24 jam dibelai keenakan duniawi. cerita ku tadi hanyalah sekadar mahu meraih simpati kamu agar rela melepaskan aku dari tanggungjawab.

dalam diam aku membaca satu tulisan. tulisannya pendek. tapi maknanya dalam dan jauh. tulisan itu aku baca setiap hari. dan aku menanti-nanti tulisan yang lain. bila aku baca, aku terasa seperti tulisan itu untuk aku. lalu membuatku baca berulang-ulang.

sekali pabila kita memegang suatu pendirian, peganglah dengan hati. pabila terasa keyakinan mula tergugat dek bisikan halus, kuatkan pegangan, teruskan langkah, mara dan terus mara berbekalkan kepercayaan dan pendirian.

sememangnya sudah terlambat untuk saya mengucapkan selamat hari raya kerana tanggal 1 Syawal sudah lebih seminggu berlalu. namun izinkanlah saya mengucapkannya sekarang.

SELAMAT HARI RAYA
MAAF ZAHIR DAN BATIN


kekerapan berada di hadapan PC tidak mengizinkan saya untuk terus-terusan menghasilkan entri-entri baru. jadi saya mengambil kesempatan sempena kelas akademik yang ditangguhkan pada petang ini untuk menulis.

Aidil Fitri:
4, 5, dan 7 Syawal lalu telah mempertemukan saya dan beberapa teman sekolah yang agak sudah lama tak bertemu. walaupun tidak banyak rumah yang sudah kami kunjungi, namun pertemuan itu sudah cukup memberi erti kepada saya. kami berbual dan ketawa. tetapi kami lebih banyak ketawa.
namun saya agak terkilan kerana masih tidak mendapat pelepasan pada raya ketiga. tidak mengapalah, tahun hadapan saya akan cuba lagi.
Aidilfitri kali ini memberi saya kelainan dari segi penghayatan. apa yang dikata saling bermaafan itu begitu menusuk jiwa saya. mungkin kerana pada tahun ini kutipan duit raya saya semakin berkurangan. lantas memberi saya lebih fokus untuk memohon kemaafan dari orang lain. tahun hadapan saya tak pasti apa yang akan berlaku.

Pelajaran:
saya ada membawa balik tugasan yang diberi oleh pensyarah, namun tanpa sempat saya memegang pena, tugasan itu saya simpan kembali ke dalam beg. keseluruhannya, saya telah membaca sebanyak 1 1/2 muka surat. oh, lebih baik dari tidak membuat apa-apa! sekembalinya saya ke UTP, rasa malas begitu menjadi-jadi. bagaikan ada belenggu yang menghalang saya untuk ke kelas dan menyiapkan tugasan. maklumlah, iblis dan syaitan sudah terlepas dari belenggu mereka sejak 1 Syawal. oh, kini saya menyalahkan mereka pula. kenapa saya tak menyalahkan diri sendiri?

Lain-lain:
Chelsea telah kalah kepada Wigan 1-3 di tempat lawan pada perlawanan EPL 7 Syawal yang lalu. berikutan itu, beberapa orang kawan telah mempersenda dan mengejek saya. namun saya akan tetap terus menyokong pasukan kegemaran saya ini. walau mereka di tangga terbawah liga, walau mereka terlepas ke divisyen kedua. saya akan tetap bersama. saya menyukainya bukan kerana kehebatan, bukan kerana prestij, bukan kerana rupa. saya menyukainya kerana ia adalah ia seadaanya. begitu jugalah untuk yang lainnya. saya akan tetap terus suka.