diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

Oct 21, 2010

Antara Cinta dan Kasih

Cerita bersiri ini hanya rekaan. Sedikit adaptasi dari kisah seseorang untuk dijadikan tatapan. Plot dan jalan ceritanya telah diubah mengikut kesesuaian. Selamat membaca.

Bab 1: Malam Tanpa Bulan


Malam itu gelap sekali. Sang bulan bagai segan mahu menunjukkan wajah. Bunyi cengkerik dan sahutan si kodok silih berganti. Bagai sebuah pesta penuh dengan bunyi alam. Hanya gelita yang mencacat suasana.

Dari arah sebuah rumah kelihatan dua kelibat kecil berjalan perlahan. Senyap dan tanpa sebarang suara. Seorang berjalan di hadapan, memimpin seorang lagi yang mengekor dari belakang. Lantas yang di hadapan berhenti tiba-tiba seraya membetulkan seliparnya yang tercabut dek tersekat di celah rumput menjalar. “Kak Ecah, Ayim takut. Gelap sangat ni,” rengek si Ayim lantas membetulkan songkoknya yang hampir menutup mata itu. “Janganlah takut Ayim, akak kan ada. Nanti akak hantar Ayim sampai rumah ya? Pegang Al-Quran tu kuat-kuat,” pujuk Ecah. Ayim hanya mengangguk tanpa melepaskan hujung baju Ecah yang digenggamnya erat sambil sebelah tangan lagi mengelek erat kitab suci Al-Quran.

Selepas melalui beberapa buah deretan rumah, Ecah menukar haluan ke sebuah simpang di sebelah kanan jalan. Tangan Ayim masih belum dilepaskan. “Assalamualaikum Cik Epah, ooo Cik Epah!”jerit Ecah di muka pintu sebuah rumah berwarna hijau tua. Beberapa ketika salam disahut dan pintu dibuka. Muncul seorang wanita separuh umur. “Masuklah dulu Ecah” pelawa Cik Epah. “Tak apalah Cik Epah. Mak suruh Ecah balik cepat lepas mengaji. Kerja rumah tak siap lagi,” Ecah terpaksa menolak. “Baiklah, kirim salam pada mak. Terima kasih ya tolong hantarkan si Ayim ni. Dah masuk darjah satu pun masih penakut lagi,” sindir Cik Epah kepada Ayim. Ayim hanya tersengih menampakkan giginya yang rompong itu. Ecah berlalu pergi sambil melambai kepada Cik Epah dan Ayim. Laju dia mengatur langkah menuju ke rumah. Kalau kerana tidak memakai baju kurung, mahu sahaja dia berlari sekuat hati. Malam gelap begitu bisa mendirikan bulu romanya. Hanya di depan Ayim takutnya tidak ditunjukkan.

Bersambung…

1 reaksi:

My Little Diary said...

salam perkenalan,

semoga sehat selalu