diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

Terima kasih kerana masih mengikuti siri ini. Sila ikuti sambungan dari bab yang pertama. Selamat membaca.


Bab 2: Mana Kelibatnya?

Kokok ayam masih kedengaran. Hening pagi masih terasa. Ecah sudah keluar mengayuh basikal tuanya menuju ke sekolah. Namun sebelum itu dia harus menjemput Ayim. “Entah sudah bangunkah belum si Ayim ni,” bisik hati Ecah. Sesampainya dia ke rumah Ayim, terus disandarkan basikal tuanya itu ke dinding. “Ayim! Ayim! Sudah siapkah belum?” teriaknya dari luar. Beberapa ketika, muncul Cik Epah di muka pintu. “Tunggu kejap ya Ecah. Ayim tengah bersiap. Dia bangun lambat pagi ni. Semalam tengok gusti sampai lewat malam. Degil betul tak mahu dengar kata,” rungut Cik Epah. Ecah hanya mengangguk. Kenal benar dia dengan karenah Ayim. Tak pernah terlepas kalau ada tayangan gusti di televisyen. Sebentar kemudian Ayim keluar terkocoh-kocoh sambil mulut masih mengunyah roti yang belum sempat dihabiskan. Rambutnya kusut, bajunya terkeluar. “Comot betul kau ni Ayim. Malu dengan Kak Ecah kau,” Cik Epah terus membebel. Ecah hanya tersenyum seraya tangannya menyisir rambut Ayim yang kusut itu. Belum sempat bajunya dibetulkan, Ayim terus berlari mendapatkan basikal Ecah. “Cepatlah Kak Ecah! Bawa basikal ni laju-laju, ya!” jerit Ayim sambil menuntun basikal tua itu. Ecah capai basikalnya dan Ayim terus melompat ke belakang basikal. “Pegang akak kuat-kuat. Jangan lepas, nanti jatuh,” pesan Ecah.

Kringg!!! Loceng pertama hari Isnin berbunyi. Murid-murid SK Pasir Raja berpusu-pusu menuju ke tapak perhimpunan. Ada yang berlari, ada yang berlumba-lumba. Mereka memang tak berani datang lambat ke perhimpunan sekolah. Kalau ada yang lambat, alamatnya kena tengkinglah dengan Cikgu Isa, Guru Besar sekolah itu. Tak pernah ada murid yang berani cari fasal dengan beliau. Rotan sentiasa di tangan. Ecah dan Ayim juga kelam-kabut menuju ke tapak perhimpunan. Basikal tua disandarkan di tiang kantin sekolah. Nasib baik mereka tidak lewat pagi itu.

Kring!!! Loceng kedua berbunyi menandakan waktu rehat. Ibarat semut menghurung gula, murid-murid menuju ke kantin. Budak-budak lelaki berlumba-lumba menuju ke kaunter. Masing-masing tak mahu mengalah. Terpaksa ada pengawas yang mengawal. Ecah biasanya membawa bekal ke sekolah. Dia memang tak suka beratur panjang. Kebiasaannya juga, dia akan membawa bekal lebih untuk dikongsi bersama Ayim. Tapi waktu rehat itu dia tak nampak langsung kelibat Ayim di kantin. “Ke mana perginya si Ayim ni?” getus hatinya. “Yamin, ada nampak Ayim tak?” tanya Ecah kepada kawan sekelas Ayim bernama Yamin. “Tadi saya nampak dia dalam kelas. Tak keluar lagi agaknya,” jawab Yamin. “Apa yang dibuatnya di kelas?” detik hati Ecah seraya menuju ke kelas Satu Mawar, kelas Ayim. Sesampainya di sana, kelihatan Ayim duduk di satu sudut sambil membaringkan kepalanya di atas meja. “Kenapa Ayim tak keluar rehat?” tanya Ecah. “Pening…” jawab Ayim ringkas. “Itu lah. Kan akak dah pesan jangan tidur lambat. Tengok gusti sampai lewat malam. Sekarang siapa yang susah?” leter Ecah kepada Ayim. Dibukanya bekal yang dibawa dan dihulur kepada Ayim. Karipap yang hampir sejuk itu langsung tidak disentuh Ayim. Biasanya kalau Ecah bawa bekal karipap ke sekolah, Ayimlah yang menghabiskannya. Suka benar dia dengan karipap yang dibuat mak Ecah. Melihatkan tiada reaksi dari Ayim, Ecah capai karipap dan disuapkan ke mulut Ayim. Ayim mengunyah perlahan. Tiba-tiba Ecah teringat yang dia ada membawa minyak angin. Diseluknya saku baju sekolahnya. Memang ada di situ. Perlahan Ecah menyapu minyak angin itu ke kepala Ayim.



bersambung...



p/s: gambar dari Google