diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

Apr 16, 2010

Kisah Puteri



ini kisah syairnya aku
aku berkhayal dalam lagu
lagu indah melodi syahdu
syahdu diulit dalam mimpiku

suatu malam aku bermimpi
mimpi indah awan pelangi
pelangi tujuh warna berseri
seri ceria menghibur hati

unggas menyanyi kicauan burung
burung terbang melayang-layang
layangnya rendah hatinya girang
girang berseri hatinya sayang

aku berjalan menyusur taman
taman penuh bunga-bungaan
bungaan cantik menjadi idaman
idaman hati puteri impian

cantik puteri sungguh jelita
jelita rupa, laku, dan kata
kata dipelihara, laku dijaga
dijaga budaya berlandas agama

aku melihat berdirinya puteri
puteri menyanyi merdu sekali
sekali dialun lagu berseni
berseni madah lahir di hati

sekali ku tersedar dari lena
lena terjaga hilanglah semua
semua dilihat kini tiada
tiada di mata, hanya di jiwa

kisah puteri hanya di mimpi
mimpi indah kurnia Ilahi
Ilahi merancang juga memberi
memberi bala juga rezeki

namun aku masih percaya
percaya puteri masih ada
ada jodohnya adalah ia
ia muncul sesampainya masa

ingatlah kita insan yang hina
hina dan lemah di sisi Pencipta
Pencipta berkuasa atas segala
segala di langit juga dunia



hidupnya kita dalam khayalan hanya memberi satu harapan. harapan itu kemudian menjadi satu lagi harapan dan kemudian menjadi satu lagi harapan. maka tinggallah ia sekadar harapan. hadapilah kenyataan kerana kenyataanlah yang akan menghurai segala teka-teki dalam kehidupan. persoalannya cuma bila.

Mar 9, 2010

Wallpaper Saya?



saya telah di'tag' oleh saudari effa. maka, atas sebab itu saya meletakkan gambar di atas.

tersurat: gambar di atas merupakan printscreen wallpaper yang saya gunakan sekarang. barang-barang tersebut merupakan sebahagian dari koleksi barangan Chelsea yang ada dalam simpanan saya. sebahagiannya saya beli sendiri dan sebahagiannya adalah pemberian dari penyokong yang setia bersama The Blues. ada beberapa lagi barangan lain yang tidak sempat disertakan dalam gambar. mungkin akan disertakan dalam sesi fotografi kali kedua selepas ini.

tersirat: kenapa saya meletakkan gambar tersebut? jawapannya cukup mudah. kita sentiasa ingin melihat sesuatu yang kita suka atau minat setiap hari. adalah mustahil untuk saya melihat Chelsea bermain di hadapan mata saya pada setiap perlawanan. dan adalah mustahil juga untuk saya menjadikan Frank Lampard, John Terry, Didier Drogba, dan Joe Cole sebagai teman sebilik saya kerana mereka menetap di United Kingdom, saya pula di Malaysia. jadi cukuplah menjadikan gambar-gambar yang berunsurkan Chelsea sebagai wallpaper.

terselit: kenapa saya suka Chelsea? kali ini saya rasa jawapannya agak sukar. dalam melalui perjalanan hidup, kita pasti akan berdepan dengan pilihan. suka atau tidak, semestinya kita perlu melaluinya. dan kadang-kala kita tidak perlu punya sebab atas pilihan yang kita lakukan. seperti saya memilih untuk meminati Chelsea, saya pun tidak pasti apa sebabnya. Chelsea pasukan hebat? Manchester United, Arsenal, Liverpool, AC Milan, Inter Milan, Barcelona, dan Real Madrid juga pasukan hebat. Chelsea bermain cantik? terus terang saya katakan, Arsenal mampu bermain lebih cantik. Chelsea pasukan unggul? Manchester United punya kejayaan lebih banyak dari Chelsea. lantas, apa sebabnya? maaf, saya tidak mampu untuk menjawab. tapi ini pilihan saya. setiap apa yang kita pilih dalam hidup kita tidak semestinya betul, tetapi tidak juga salah. cuma terima pilihan kita dengan penuh keikhlasan dan penerimaan. justeru pilihan itu mampu memberi kepuasan dan ketenangan kepada kita. saya berkata secara umum, bukan dalam konteks bola sepak sahaja.

dari kecil kita dididik untuk mendengar kata ibu bapa. masuk zaman persekolahan kita mula diterapkan untuk menerima arahan yang lebih serius. hal yang sama terus berlaku di menara gading dan alam pekerjaan.

dari kecil kita akan menangis dan mengadu jika kesedihan datang melanda. pada zaman sebelum akil baligh kita akan mencari ibu, bapa, atau adik beradik untuk bermanja dan melentokkan kepala di bahu mereka. seterusnya setelah bergelar remaja, teman sebaya lebih menjadi pilihan untuk kita meluahkan rasa.

dari kecil sehingga dewasa, pastinya kita mempunyai tahap kematangan yang berbeza. kemahiran mengawal emosi juga sepatutnya berkadar langsung dengan tahap kematangan tersebut. begitu juga seharusnya berlaku kepada kemahiran kita untuk menyelesaikan masalah.

sebenarnya, saya agak tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak yang mengambil langkah dangkal ataupun kebudak-budakan untuk menyelesaikan masalah. sebagai orang dewasa yang rasional, sesuatu masalah haruslah dilihat sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan, bukan sebagai suatu yang perlu dipanjangkan atau ditokok tambah.

memang kadang-kala kita sedikit tersasar dari landasan rasional. jika sesuatu masalah timbul dan dilihat seperti tiada jalan penyelesaian, kita akan lebih cenderung untuk berkokok menyalahkan pihak lain tanpa dilihat sebab yang lebih mendalam. hal ini sebenarnya akan lebih memburukkan keadaan terutamanya jika melibatkan hal-hal sensitif seperti perpaduan dan kemasyarakatan.

namun saya kira, atas sebab itu kita dikurniakan dengan akal yang mempunyai kemampuan untuk berfikir serta tahap kematangan seiring usia bagi melakukan analisa terhadap masalah yang melanda. ketika kecil, kita lebih cenderung untuk menangis sebagai langkah penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. tidaklah sepatutnya langkah serupa diambil ketika usia sudah berganjak dewasa. bagi kaum wanita, mungkin dengan cara itu mereka dapat meluahkan segala perasaan yang terpendam. tetapi sebenarnya itu adalah konteks yang berlainan. saya berbicara soal kerja dan professionalisme. mari saya berikan contoh. sekiranya kita seorang doktor, adakah kita akan menangis jika gagal menyembuhkan seorang pesakit? sekiranya kita seorang pemandu teksi, adakah kita akan menangis jika teksi kita rosak? sekiranya kita seorang jurujual, adakah kita akan menyalahkan pembeli jika barang jualan tidak laris? jika kita masih menangis atau lebih suka mencipta alasan, selayaknya kita digelar golongan primitif.

meneliti situasi sekarang, kita dihamburkan dengan berbagai kemewahan dan keselesaan. serba-serbi kini menjadi mudah dan selesa. jarang ada orang yang sanggup keluar dari zon selesa serta berani mengambil risiko dan tanggungjawab. justeru ramai yang lebih rela menunggu arahan dari membenihkan buah fikiran sendiri. mungkin takut disalahkan jika idea yang dikeluarkan akan memakan diri sendiri. atau mungkin juga malas untuk menggalas tanggungjawab yang lebih berat. maka langkah berdiam diri dan menurut sahaja segala arahan difikir sebagai opsyen terbaik. kesannya, generasi hari ini menjadi pasif dan kurang produktif.

saya berpendapat generasi kini mempunyai kemahiran akademik yang lebih baik dan tinggi. namun "bekas" untuk menampung ilmu-ilmu akademik tersebut dilihat semakin rapuh dari hari ke hari. air tidak dapat ditampung tanpa bekas. begitu juga dengan ilmu. bekas itu harus dijaga teliti dan diperbaiki setiap hari agar kesinambungan dan kemampanan ilmu terus berlaku. bekas itu mungkin boleh dirujuk sebagai modal insan.

pengertian saya terhadap modal insan sangatlah sedikit. saya hanya mampu simpulkan modal insan sebagai keimanan dan kemajuan.



p/s: tiba-tiba seperti mahu menulis topik berat.




gambar bukan sekadar hiasan

sebentar tadi terbaca blog bobo dengan entri bertajuk "Hero!", dan saya amat bersetuju dengan beliau. entri tersebut menceritakan tentang bekas CEO PETRONAS, Tan Sri Dato Seri Dr. Hassan Marican. baca entri asal di sini.

kebanyakan dari kita tak akan pernah untuk menghargai jasa, pengorbanan, dan kebaikan yang dibuat orang lain. malah lebih senang untuk mengata dan memburukkan kelemahan orang lain. sebaliknya, jika diri sendiri terlibat dengan sedikit kerja-kerja kebaikan, maka akan dicananglah seluruh pelusuk media. tapi itu perkara biasa. perkara itu menjadi realiti yang terpaksa ditelan setiap hari.

mari kita lihat satu situasi di jalan raya. kita sedang memandu di lorong kanan dan tiba-tiba sebuah kenderaan di lorong kiri tanpa memberi isyarat membelok, terus menerjah masuk di hadapan kita seraya membuat muka selamba. situasi yang biasa kita lihat di ibu kota. maka akan terpacullah dialog seperti, "bodoh punya orang. tak reti bagi signal ke?!". tapi apabila kita melakukan tindakan serupa, dan dihon oleh pemandu lain, maka terkeluarlah pula dialog seperti, "bodoh punya orang. tak nampak ke aku nak masuk?!". makanya, semua orang di atas jalan raya adalah bodoh kecuali kita. kita adalah orang yang paling berhemah dan paling cekap di atas jalan raya.

dalam sedar atau tidak, segala kenikmatan yang kita rasa di dunia ini pasti akan ada melibatkan pihak-pihak lain yang mungkin terpaksa berkorban dan bersusah-payah dalam menyediakan kenikmatan itu. sesungguhnya segala kenikmatan itu datangnya dari Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, dan kenikmatan itu dikurnia melalui bermacam cara. ambil contoh nasi yang kita makan. bayangkan berapa orang yang terlibat dalam proses penanaman padi bermula dari proses menerangkan tanah menjadi sawah, kemudian proses membajak, menanam, dan seterusnya menuai. kemudian bayangkan pula berapa orang yang terlibat dalam proses pembungkusan dan pemasaran beras. dan seterusnya ia menjadi nasi yang kita makan. pernahkah kita terfikir bagaimana kehidupan keluarga pesawah yang bertungkus lumus menanam padi, kehidupan keluarga pemandu lori yang menghantar beras ke kedai-kedai runcit, dan juga kehidupan keluarga pekedai runcit tersebut?

justeru, saya kira tidak perlulah untuk kita mendabik dada menayangkan kelebihan yang ada, kerna risau akhirnya ia kan membuka pekung sendiri. setiap dari kita punya kelemahan dan kelebihan sendiri. kelebihan kita digunakan untuk membantu orang lain, dan kelemahan kita akan ditampung oleh mereka pula. itulah gunanya bersahabat. bersahabat bukannya untuk merasai yang enak-enak sahaja. sedangkan beruk juga akan mengamuk kalau temannya diancam. inikan pula kita manusia. tapi zaman sekarang pun sudah ramai manusia yang berkelakuan lebih beruk dari beruk.

melalut dah ni. macam mana pulak dari cerita Tan Sri Hassan Marican tadi boleh masuk cerita beruk?


p/s: merujuk entri bobo, saya suka bahagian tentang Solat Jumaat tu. ceo PETRONAS pun sempat tukar pakaian untuk solat. putih pula tu. bagaimana kita?

Feb 6, 2010

2010 = 22

entri pertama untuk tahun 2010....

sudah agak lama rasanya blog ini tidak disentuh. jika nak dikatakan saya terlalu sibuk, tidak juga. Tun Dr Mahathir pun update blog beliau setiap hari. mungkin kerana tiada bahan nak dibincangkan, maka saya lebih rela membiarkan blog ini bersawang dari dipenuhi dengan entri entah apa-apa.

memasuki tahun 2010 ini memberi suatu yang signifikan kepada saya. harapnya inilah tahun dan semester terakhir saya bergelar sebagai pelajar professional. saya juga ingin merasai nikmat sebagai seorang yang berkerjaya. punya kerja tetap, punya kereta sendiri, punya rumah sendiri, dan punya keluarga sendiri.

tentang kawan-kawan, banyak cerita positif yang saya dengari dari mereka. harap saya juga begitu nanti. biasalah, manusia mana yang mahu dilanda perkara negatif.

tentang saya, masih begini. saya cuma mahu menghabiskan semester yang akhir ini dengan tenang. saya mahu cepat dapat kerja. kalau boleh, bergaji besar. sebab saya nak kumpul duit banyak-banyak. saya nak kurangkan beban ibu bapa saya, saya nak beli harta, dan saya nak kahwin. saya tahu saya perlukan wang ringgit yang banyak untuk itu semua. di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

perenggan di atas kedengaran seperti agak cliche. tapi orang kata itulah realiti kehidupan seorang graduan. dan saya rasa saya juga akan melalui perkara yang serupa. cuma mungkin melalui jalan yang sedikit berbeza.

dan saya harap segala apa yang ada di hati saya akan kekal di sini selamanya.

Dec 14, 2009

IPT Perak menggegar

pada 12 dan 13 Disember 2009 telah berlangsung karnival wajadiri ipt kebangsaan kali ke-3. program tersebut telah berlangsung dengan meriah dengan penyertaan 32 buah ipt. skuad dari negeri perak telah menghantar 3 buah pasukan diwakili oleh utp, uitm perak, dan puo atas nama PSSCM IPT PERAK. dengan penyertaan seramai 33 orang termasuk pengurus, 3 pasukan ini telah berjaya memenangi 1 emas, 1 perak, dan 3 gangsa dengan setiap ipt berjaya mendapat pingat.

walaupun terdapat berbagai rintangan dalam melakukan persiapan menjelang hari pertandingan terutamanya dari segi latihan dan logistik, namun segala halangan tersebut berjaya ditempuhi bersama-sama. dengan masa yang agak terhad ekoran jadual peperiksaan yang berbeza bagi ketiga-tiga ipt, namun para peserta telah membuktikan bahawa setiap rintangan akan dapat diatasi sekiranya dihadapi bersama-sama. sememangnya telah banyak masa, tenaga, dan wang ringgit yang telah dikorbankan bersama-sama dalam melakukan persiapan serta penyertaan untuk program ini.

tiada kata yang mampu diucap untuk membalas segala pengorbanan yang telah mereka lakukan. hanya kata terima kasih mampu dihulur atas segalanya. terima kasih kepada sahabat-sahabat dari utp kerana menyediakan penginapan, pengangkutan serta kemudahan lain untuk pasukan ini. juga terima kasih kepada ahli-ahli wanita utp kerana sanggup berkorban nama dengan bertanding atas tiket uitm perak dan puo. seterusnya terima kasih juga kepada sahabat-sahabat dari uitm perak yang sanggup mengorbankan waktu cuti mereka serta kesudian mereka untuk mengisi kekosongan yang terdapat dalam pasukan yang bertanding atas tiket utp. tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari puo yang sanggup mengorbankan masa, tenaga, dan wang ringgit untuk menjalani latihan walaupun ada yang terpaksa berulang alik setiap hari tambahan pula mereka sedang menduduki peperiksaan akhir. akhir sekali tidak lupa kepada semua ahli yang membantu sama ada secara langsung atau tidak bagi menjayakan program ini. sesungguhnya hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa dan pengorbanan yang telah kalian lakukan.

memanglah benar sekiranya sesuatu perkara itu jika kita lakukan secara bersama dan bersatu, pasti akan mendatangkan nikmat. walaupun tidak berjaya mencapai johan keseluruhan, namun sebenarnya Tuhan telah memberi kita lebih dari sekadar kemenangan. terpulanglah kepada kita bagaimana untuk menafsirkan bentuk nikmat dan kurnia dariNya kepada kita. Tuhan itu maha adil dan saksama. marilah kita panjatkan rasa syukur yang tak terhingga kepadaNya atas nikmat ini.

diharapkan agar kesejatian dalam perhubungan ini dapat kita teruskan selagi nama Melayu itu tertegak atas muka bumi ini. janganlah kilauan pingat membuat kita lupa dan alpa pesanan guru-guru kita. sesungguhnya pertandingan ini hanya kulit yang perlu kita kupas agar nikmat kemanisan isinya dapat kita nikmati bersama-sama generasi demi generasi.

kita memang tak menang semasa pertandingan ini, kerana kita telah menang sebelum, semasa, dan harapnya selepas pertandingan ini.


hasil darah, peluh, dan air mata

petang tadi saya melihat seorang sahabat karib saya selamat menyelesaikan pengajiannya di utp. kini beliau hanya cuma perlu melakukan beberapa perkara sahaja sebelum beliau benar-benar bergraduasi. melihatnya seronok membuatkan saya juga berasa seronok untuk turut melonjak gembira. apakan daya, saya masih mempunyai satu semester lagi yang perlu saya tempuhi. tapi keseronokan yang beliau rasakan itu membuatkan saya kembali bersemangat untuk turut merasai keseronokan yang sama. Insya Allah...

buat jawa, tahniah. aku bangga dengan kau. semoga kau akan lebih berjaya dalam menempuh alam pekerjaan. juga buat insan-insan lain yang akan bergraduasi, tahniah untuk kalian dan juga semoga kalian akan lebih berjaya pada masa akan datang.