diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

petang tadi saya melihat seorang sahabat karib saya selamat menyelesaikan pengajiannya di utp. kini beliau hanya cuma perlu melakukan beberapa perkara sahaja sebelum beliau benar-benar bergraduasi. melihatnya seronok membuatkan saya juga berasa seronok untuk turut melonjak gembira. apakan daya, saya masih mempunyai satu semester lagi yang perlu saya tempuhi. tapi keseronokan yang beliau rasakan itu membuatkan saya kembali bersemangat untuk turut merasai keseronokan yang sama. Insya Allah...

buat jawa, tahniah. aku bangga dengan kau. semoga kau akan lebih berjaya dalam menempuh alam pekerjaan. juga buat insan-insan lain yang akan bergraduasi, tahniah untuk kalian dan juga semoga kalian akan lebih berjaya pada masa akan datang.



Nov 16, 2009

permintaan ketiga

cerita di bawah hanya merupakan rekaan. adaptasi dari beberapa kisah-kisah jalanan. tiba-tiba saya terasa seperti hendak menulis sebuah cereka. temanya, cinta.


/*--------------------------------

tersebut kisah sepasang kekasih muda di sebuah tempat tak bernama. si lelaki biarlah dinamakan Adam. manakala si perempuan kita gelarkan sebagai Hawa. Adam sangat mencintai Hawa, dan begitu jugalah Hawa. maka untuk dijadikan cerita, terjadilah perpisahan di antara mereka. Adam terpaksa berhijrah ke tempat lain bagi mengejar masa depan yang gemilang demi kebahagiaan mereka berdua kelak. maka berkatalah Adam kepada kekasih hatinya, Hawa.

A: minta maaf aku terpaksa meninggalkanmu. demi masa depan kita, aku terpaksa berhijrah.
H: janganlah kau tinggalkan aku. aku pasti akan rindukanmu.
A: maaf cinta hatiku, aku tak sanggup melihat kau menderita apabila kita bersama kelak. biarlah aku ke kota demi memperbaiki kehidupan ku, agar kau bahagia nanti apabila kita ditakdirkan bersama.
H: sesungguhnya aku tak sanggup kehilanganmu.
A: aku hanya mengharapkan kepercayaan darimu. tunggulah aku. aku akan pulang ke sini.
H: kalau begitu, berjanjilah padaku. berjanjilah padaku yang kau akan kembali, berjanjilah padaku yang kau akan setia padaku, dan berjanjilah padaku bahawa kau hanya akan memandangku sepanjang hayatmu tanpa kau memandang wanita lain.

Adam hanya diam dan membalas dengan senyuman. dengan tenang dia membalas, "aku terpaksa pergi sayangku. jumpa lagi". lantas, meninggalkan Hawa resah tanpa jawapan.

pemergian Adam membuatkan Hawa berasa amat sedih. tambahan tiada jawapan yang diberikan Adam atas ketiga-tiga permintaan Hawa. lalu, menangislah Hawa sehari-harian. siang dan malamnya hanya ditemani tangisan kerinduan tak henti-henti. kehidupannya yang dulunya riang kini diselaputi duka. Hawa risau jika kehilangan Adam dalam hidupnya. Hawa tahu di kota lebih ramai wanita yang lebih cantik dan baik darinya. tambahan dengan sifat-sifat kelakian sejati yang ada pada Adam pasti akan membuat semua wanita jatuh hati padanya.

kesedihan yang melanda diri Hawa telah menjejaskan kesihatannya. akibat menangis tanpa henti siang dan malam, Hawa telah kehilangan sifat melihatnya. matanya menjadi rosak akibat terlalu banyak menangis. maka hidup Hawa boleh diumpamakan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. terlalu malang dirinya. sudahlah kekasihnya tiada di sisi, kini dia pula menjadi buta. maka gelaplah hidupnya dalam menjalani kehidupan yang mendatang.

...........................

lima tahun berlalu telah membawa sekali masa beredar. hidup Hawa masih begitu. diselubungi ketidak pastian ekoran tiada langsung berita yang diterimanya dari Adam. namun kehidupannya harus diteruskan seperti biasa. dia harus lari dari kesedihan dan meneruskan hidupnya seperti insan lain. maka hiduplah Hawa seperti orang lain yang memiliki nasib serupa dengannya.

dalam Hawa berjuang meneruskan hidupnya, datanglah satu berita baik untuknya. ada seorang insan prihatin yang sudi untuk mendermakan matanya kepada Hawa. lalu, diterimalah oleh Hawa dengan rasa syukur dan redhanya kepada Ilahi. peluang melihat kali kedua ini tak akan dipersiakan olehnya. terutama untuk menangisi lelaki seperti Adam yang menghilang diri tanpa sebarang khabar.

maka satu pembedahan telah diatur, dan dengan kehendak Tuhan segalanya berjalan seperti yang dirancang. kini Hawa boleh melihat semula. bersyukurlah dirinya setelah diberi peluang kedua untuk melihat. maka berkatalah akan tuan tabib kepada Hawa, "penderma matamu kami tempatkan di wad bersebelahan. kamu hanya dibolehkan untuk melawatnya pada waktu yang ditetapkan." maka setelah reda semuanya, melangkahlah Hawa ke wad bersebelahan untuk menemui penderma matanya. setibanya Hawa ke katil si penderma, didapati si penderma telah tiada. namun yang ditemuinya hanya secebis kertas bertulisan tangan. tulisannya buruk. seperti ditulis oleh "si buta". namun Hawa seperti tertarik mahu membaca tulisan itu. maka dibacalah olehnya.

kepada hawa,
aku minta maaf. aku tak mampu menunaikan permintaanmu yang ketiga....

lalu berderaulah darah Hawa membaca nota itu. dalam kesangsian itu, masuklah seorang pemuda ke dalam wad tersebut. dan ternyata, apa yang terlintas di minda Hawa adalah benar belaka. pemuda buta itu sangat dikenalinya. terakhir mereka bertemu adalah lima tahun dahulu.

----------------*/

terdapat sesetengah orang yang semakin melupai asal dan usulnya. nama seperti khatijah bertukar menjadi kat atau kathy, salmah menjadi sally, dan sebagainya. jika hanya pada nama mungkin tidak mengapa. tapi bagaimana jika kepercayaan dan budaya sudah berselang seli antara yang asli dan yang tidak? berbaju melayu tapi meneguk Heineken, berkopiah tapi berjudi, berhalkum tapi memakai coli. malah beristeri tapi masih enak-enak berzina. sebagai orang baik (kononnya), mari kita fikirkan dan bertindak mana yang perlu (mengumpat di belakang seperti yang selalu kita lakukan) agar gejala ini tidak turun ke lapis-lapis seterusnya (kita tak akan pernah kisah kalau tak kena batang hidung sendiri). gambar di bawah sekadar hiburan.



click untuk besarkan

Nov 5, 2009

aku budak bodoh 3

aku bercakap,
terus bercakap,
membebel dan membebel,
kesudahannya hanya itu.

siapa yang mahu mendengar aku bercakap,
suaraku tak merdu,
bahasaku longgar,
ayatku celaru.

dari bercakap,
lebih baik aku buat,
buat, buat,
dan senyap,
biar tak siapa tahu.

oh Tuhan,
segala-gala yang ada,
adalah milikMu belaka,
tiada satu yang menjadi hak diriku,
walau sekelumit hama.

oh Tuhan,
berikanlah aku apa yang selayaknya untuk aku,
janganlah Kau palingkan aku dari landasanMu,
hindarkan aku dari kekusutan dunia,
pelihara aku dari segala nikmat melakukan dosa.

oh Tuhan,
tetapkanlah hatiku,
dalam apa jua kepercayaanku,
dalam apa jua bidangku,
dalam apa jua yang tersemat di rasa cintaku,
kepadaMu,
kepada ketiga-tiga,
kepada mereka dan mereka,
kepada siapa jua yang aku cinta.


gambar sekadar hiasan

Nov 4, 2009

kenapa kau ada?

pernah kamu terfikir, mengapa kita dihidupkan? kenapa kita perlu hidup? apa tujuannya kita hidup? apa tujuannya kita berada di dunia ini? sedangkan hujung hidup kita ini pasti mati. tiada apa yang tidak mati. mati itu pasti. dah jika begitu, mengapa perlu susah-payah kita teruskan hidup?

saya percaya mesti ada suatu sebab mengapa kita dihidupkan. dari sekecil-kecil sebab ke sebesar-besar sebab. saya bukan nak jadi ustaz ataupun professor di sini. cuma pada suatu ketika, saya dan beberapa orang teman telah membincangkan akan hal ini. asalnya dari sembang-sembang kosong, tapi akhirnya melarat memasuki topik yang membuatkan kami tak tidur malam (kami memang tak pernah tidur malam).

saya percaya setiap dari kita mempunyai fungsi atas sebab wujudnya kita di alam nyata ini. dan bila dikatakan tentang fungsi, pasti kewujudan kita yang sebenarnya tidak wujud ini berkait dengan segala macam hal di sekeliling. sesama manusia, alam sekitar, masyarakat, mahupun negara.

pernahkah kita terfikir, adakah sebenarnya kita diwujudkan untuk diri kita sendiri? ataupun sebenarnya kita diwujudkan supaya kita mampu memberi kesan terhadap perkaitan-perkaitan yang saya sebutkan tadi?

baiklah, mari kembali bercakap tentang fungsi. apakah fungsi? menurut kamus yang ada di atas meja saya (dipenuhi habuk!), fungsi membawa maksud menjalankan suatu tugas yang tertentu, atau lebih mudah dikatakan sebagai tugas. dan seterusnya jika kita pernah terfikir, bahawa fungsi sesuatu objek/perkara itu langsung tidak pernah (kebanyakannya) berkaitan dirinya sendiri. sebagai contoh, fungsi enjin adalah untuk menggerakkan kereta (betul ke?). manakala yang menggerakkan enjin adalah petrol (tak kisahlah RON95 atau RON97). kereta dan enjin itu tak akan pernah mampu bergerak sendiri. ia memerlukan pihak lain untuk membuatnya berfungsi.

lantas, mari kita kembali kepada persoalan. apakah fungsi kita? untuk siapakah perlu kita berfungsi? untuk bersifat lebih semantik, saya akan gantikan perkataan "fungsi hidup" dengan "tujuan hidup".

saya pasti ramai yang sudah maklum bahawa persoalan-persoalan ini sebenarnya sudah terjawab sebelum timbulnya soalan-soalan yang saya nyatakan tadi. saya pasti ramai yang akan menjawab, "Allah S.W.T menciptakan kita untuk menghambakan diri kepadaNya", termasuklah saya jika ditanya soalan serupa. sebagai seorang Muslim, saya juga berpegang pada kenyataan ini. tidak ada satu tugas yang paling penting sebagai seorang manusia selain menghambakan diri kepada Yang Maha Mencipta. namun, biar saya ubah soalan-soalan saya. bagaimanakah kita menghambakan diri kepadaNya? apakah tugas-tugas yang perlu kita lakukan bagi memenuhi tuntutan fungsi kita sebagai seorang manusia? bagaimanakah yang dikatakan hamba? seorang atau segolongan? sayakah? kamukah? atau kitakah?

kitar hidup seorang manusia biasa bermula dari kelahirannya. seterusnya meningkat dewasa dan berkerjaya. setelah kehidupannya kukuh, mereka mula berkeluarga dan beranak-pinak. setelah puas mengumpul harta, mereka akan mati, dan generasi seterusnya akan menyambung kitaran yang sama. beginikah sebenarnya hidup? jika begini, alangkah mudahnya kehidupan.

ada tiga jenis manusia di dunia ini. pertama, yang sudah tahu tujuan hidupnya. kedua, yang belum tahu tujuan hidupnya dan masih mencari-cari. ketiga, yang tak pernah terfikir apakah tujuan hidupnya. kita di mana?



seorang, berdua, atau bersama-sama?