pengalaman pertama kali berada di Pasar Seni amat mengasyikkan saya. saya leka memerhatikan gelagat dan berbagai ragam manusia yang melintas di hadapan saya. ada yang berpakaian kemas, ada yang hanya ala kadar, dan ada yang seakan-akan tidak berpakaian.
namun apa yang lebih menarik perhatian saya adalah persembahan dua orang pemuzik jalanan yang mempunyai bakat seni yang sejati. bila saya katakan sejati, makna kata bakat mereka memang sepatutnya mempunyai nilai komersil yang tinggi. saya yakin jika mereka mengambil bahagian dalam program realiti tempatan yang tidak berpandukan sistem khidmat pesanan ringkas, pasti mereka akan menang. namun apakan daya, mereka tidak punya rupa sekacak Tomok mahupun rambut yang berwarna-warni.
seketika mereka sedang asyik memetik gitar, datang seorang yang boleh disifatkan sebagai "kurang waras". orang kurang waras (okw) ini begitu galak menghayati lagu-lagu yang dimainkan. saya jadi kaget sebentar apabila okw tersebut mencapai mikrofon dan bersiap-sedia menyanyikan sebuah lagu. dalam hati saya, "mengacau betullah orang gila ni! tolonglah ada seseorang yang menghalangnya." namun apa yang berlaku lebih memeranjatkan saya. insan yang saya sifatkan gila tadi boleh menyanyi lebih baik daripada saya. bahkan saya rasa dia juga layak untuk bertanding dalam program-program realiti televisyen. tapi sayang. dia juga tidak kacak, tidak mempunyai rambut berwarna-warni, berbaju comot, dan gila!
sejenak saya terfikir. kenapa begitu mudah saya memberi persepsi negatif terhadap orang ini? adakah kerana dia kurang waras maka saya yang waras ini layak untuk memberi tanggapan
buruk serta merendah-rendahkannya? adakah kerana dia tidak kacak maka saya yang kacak ini boleh menghina serta mencacinya?
dengar dengan telinga jangan percaya,
lihat dengan mata jangan percaya,
ada akal gunakan dengan bijaksana.
mungkin inilah dia....
*nota: gambar di atas hanyalah gambar hiasan.
1 reaksi:
gi cm tak bgtau. sobs.
Post a Comment