diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

Aug 19, 2009

hati yang mencari erti


dalam meniti liku kehidupan memang banyak dugaan yang terpaksa kita tempuhi. kadang kala rasa tak larat tertanggung dek badan melayannya. namun, sebenarnya kita sendiri tak pernah mengerti akan hakikat dugaan yang melanda. adakah ia dugaan? atau ia merupakan balasan atas dosa silam? cukup bercakap tentang dugaan. ia akan memberatkan batu gemala si penulis.

seterusnya mari kita berbicara soal kejutan. secara nyata, hidup kita direncanakan oleh Satu kuasa yang tak terlihat oleh mata fizikal seorang manusia biasa. saya tak pasti sama ada mata bukan fizikal boleh melihat, kerana saya rasa mata bukan fizikal saya agak teruk kaburnya. namun menurut pemahaman saya, penglihatan mata bukan fizikal lebih jelas berbanding mata fizikal. berbalik soal kejutan, amat kurang mereka yang mampu meramal dan menerima kejutan. sebab itulah ia dinamakan kejutan. sekali jika tersua akan satu kejutan, maka akan terlihat oleh kita berbagai reaksi dari si penerima kejutan. ada yang tenang, tidak kurang yang melatah. kita mungkin boleh bersahaja dalam menerima suatu kejutan, namun jika tiba pada suatu takat, kejutan tersebut akan membuat diri kita seperti hilang pedoman. malah suatu pegangan dan kepercayaan akan turut goyah jika dihidangkan dengan sebuah kejutan yang dahsyat. hanya sekadar itu saya berbicara tentang kejutan.

seterusnya mari meneliti soal pengorbanan. ramai orang yang boleh berkorban. berkorban wang ringgit, masa, tenaga, malah berkorban nyawa. namun berapa orang yang sanggup mengorbankan perasaan demi suatu perasaan? meninggalkan kemanisan demi menghayati erti kepahitan. menelan segala keburukan demi mengejar suatu kebajikan. cerita tentang pengorbanan ingin saya hentikan di sini, kerana saya rasa belum layak untuk mengulas perihal suci sebuah penghidupan yang sejati. saya seorang yang belum punya walau satu pengorbanan untuk dibicarakan.

ramai yang mengenali diri saya. malah ramai juga yang mampu meneliti serta memahami peribadi saya. yang sebenarnya, bahawa saya sendiri tak mengenali diri sendiri. sedangkan hati budi sendiri sukar dierti, manakan mahu ia menyingkap peribadi. namun sejenak membuat fikiran kembali bersinar, hati kembali merenung. bahawa ia bukan milik saya. tiada walau satu zarah ia milik saya.

ada satu perasaan yang ingin saya kongsikan. perasaan itu tercetus ekoran fitrah semulajadi insan yang ingin mempunyai perasaan, dilayan dengan perasaan yang sama, serta berkongsi kedua-dua perasaan menjadi satu perasaan. ingin diluah perasaan itu melalui kata dan bicara. namun adalah lebih bermakna jika perasaan itu sendiri yang membenihkan perasaan melalui kata bicara hati. sekali perasaan terdetik di hati adalah lebih bererti dari seribu kali mendengar luahan janji. ada suatu kerisauan jika perasaan itu tidak mendapat layanan dari perasaan yang satu lagi. namun sekali lagi, hati itu bukan milik peribadi. dalam suatu masa akan dikhabarkan hal perasaan kepada pemilik jasad, nescaya mendapat keredaan dari pemilik roh.



3 reaksi:

eVy-D-YaNa said...

huhu....semua macam ada kaitan...
lebih kurang serupa...

Nur Amin Makhtar said...

ko nak bercinta ke kord?
sori kalo aku tafsirkan salah.

anak melayu said...

cinta itu hanya satu bahagian...
bahagia sejati yg saya harapkan...