diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

Aug 29, 2009

aku budak bodoh

pernah suatu ketika, ketika masih bergelar budak sekolah, seorang teman bertanyakan soalan, "kenapa kita perlu belajar sejarah? bukankah hidup kita sentiasa ke hadapan? mengapa perlu belajar sesuatu yang telah berlaku? yang berlaku itu biarlah berlaku. tak perlu diungkit kisah dan sejarah silam." lalu, seorang teman yang lain menambah dengan angkuh, "ya, kamu betul! tidak perlu belajar sejarah. biar kita yang mencipta sejarah. bukan belajar dari sejarah." pada suatu ketika, saya merasakan mereka betul. apa yang dikatakan mereka ada rasionalnya. namun oleh sebab markah ujian dan peperiksaan saya dalam subjek ini boleh dibanggakan dan dijadikan modal untuk bersikap riak, maka matapelajaran ini tetap menjadi kegemaran saya. lama-kelamaan pendirian saya berubah. sebenarnya sejarah itu bukan sekadar sejarah. sejarah itu adalah panduan untuk masa hadapan. sedangkan ketika memandu sekali-sekala kita perlu melihat ke belakang. mungkin tindakan itu boleh dijadikan sebab untuk kita terlepas dari kemalangan.

sejarah mengajar bagaimana kita, orang Melayu begitu mudah tunduk kepada bangsa asing. sejarah juga mengajar bagaimana kita pernah bersatu untuk menentang suara penjajah. juga bagaimana kita bertelingkah sesama sendiri demi kepentingan peribadi. zaman demi zaman, keadaan berubah. seluruh pelosok negara dihiasi bangunan-bangunan pencakar tujuh petala langit. setiap inci Tanah Melayu ini berubah. namun satu perkara tak akan pernah berubah. sejarah tak akan pernah berubah. malah sejarah itu berlaku dan terus berlaku. cuma dalam keadaan atau versi yang berlainan. namun konsepnya tetap sama. kita masih dijajah oleh Jepun. cuma bukan dalam bentuk politik. jika tak percaya, anda boleh bekerja di mana-mana kilang atau syarikat yang berasal dari Jepun. ini pengalaman saya.

kita telah dimanjai dengan berbagai-bagai keselesaan. hidup dalam zon selesa memang menyenangkan hati dan mengenyangkan perut. kita hanya fikirkan hati dan perut sendiri. tapi bila dilanda dengan badai konflik, biasanya kita akan cepat melatah. kalau tidak melatah pun, biasanya kita akan mencarut. itu fenomena biasa. sebenarnya ini adalah akibat tidak ambil pusing kisah dan sejarah silam. hanya duduk bercandukan kemewahan dan kesenangan. pada akhirnya, candu-candu itu sendiri yang menjadi punca kepada konflik yang mereka hadapi. sekarang, pada siapa harus mereka toleh?

sebagai seorang kanak-kanak dalam dunia kedewasaan, sememangnya kita tak berdaya untuk melaksanakan tindakan sendiri. hanya merengek dan meminta pada orang dewasa untuk disumbatkan dengan kemahuan yang menjadi-jadi. seharusnya, kita perlu cepat menjadi dewasa. kalau tidak pun, cukuplah sebagai remaja. sekurang-kurangnya kita mampu mengenal yang mana bunga, yang mana tahi. namun orang dewasa tetap kita jadikan sebagai contoh atau sumber teladan. cuma kita perlu hati-hati dalam memilih contoh tersebut. kerana contoh itu yang akan mencerminkan diri kita di hari kita meningkat dewasa. selayaknya, ibu dan bapalah yang harus kita teladani. mereka tak akan pernah mahu melihat kita diulit kepayahan dan kesengsaraan. namun ada seorang lagi yang perlu kita cari untuk kita contohi. siapa? kamu carilah sendiri. kalau sudah berjumpa, baguslah. ikutlah dia. dia tak akan membawa kamu ke arah kesengsaraan.

dalam situasi yang kita sendiri tak pasti akan kebenaran, maka tibalah masanya untuk menggunakan akal sebaiknya. sememangnya begitu, kerana kita bukan orang yang mampu melihat hakikat dan makrifat. malah kalau mampu pun, akal tetap perlu digunakan sewajarnya. sebab itulah kurnia Tuhan kepada manusia. tak perlulah dicanang kelemahan orang lain kalau kaki masih terpasak ke bumi. tak perlulah mengangkat kelebihan diri kalau masih hidup menjunjung langit. tak perlulah dipertikai Ilahi kalau masih belum mampu bergerak sendiri. manusia itu tetap bodoh dan hina. asalnya dari titisan yang hina. kembalinya dalam bentuk yang hina juga. kita kadang suka mencari salah orang. tanpa kita sedari kita juga melakukan salah yang serupa. maka, selalulah beringat. kalaupun anda seorang yang selalu beringat, tetaplah jangan dicaci dan dimaki orang lain bagaikan mengarang puisi.

tulisan ini sebagai peringatan untuk diri saya seorang kerana saya orang yang paling kerap mengunjungi blog sendiri. kalau anda mahu terima, terpulanglah. cuma sebut nama saya di Padang Mahsyar nanti sebagai orang yang berjasa kepada anda (oh, saya hanya bergurau).
kalau anda merasakan saya salah, juga terpulanglah kepada anda. kalau anda mahu menyerang saya, seranglah. cuma apa yang saya harapkan, anda sudi memperuntukkan sedikit ruang kepada akal anda untuk mengenal pasti mana isi yang baik dan mana isi yang busuk. saya hanya seorang budak kecil yang masih memakai lampin. bodoh dan naif dalam segala hal berkaitan soal-soal orang dewasa.

Aug 26, 2009

aku pun ada perasaan

mana ada yang sempurna. kita kan hanya manusia. manusia itu kan bodoh dan pelupa.

mana boleh dikata. kita kan sesama manusia. kita bukan punya apa. sama sahaja.

bukannya boleh dihitung. kita siapa untuk menetukan? kita siapa untuk menjatuhkan hukum?

buat apa dicanang-canang. bukannya untung. malah rugi berganda.

kita kan manusia. sama sahaja. hari ini hari engkau. hari esok hari aku.

aku peduli apa. aku bukan hamba engkau. engkau pun macam aku juga. sedarlah.

engkau dan aku tak punya apa. langsung tak ada apa. sedikit tak ada.

jangan selalu fikirkan perasaan sendiri. kalau kau tak pernah fikirkan perasaan orang lain.

aku penat menelan pahit. sekali-sekala biarlah aku menjamah manis.

aku pun nak hidup senang macam engkau. hidup selesa macam engkau.

engkau tengok aku senyum. aku ketawa. engkau tak pernah nampak aku menangis.

aku lagi banyak menangis dari ketawa. kau tak tahu, bukan? memanglah.

tak mungkin aku menangis di depan engkau. engkau kan selalu ketawa.

aku tak pernah rasa apa kau rasa. sebab itu aku diam. tapi kadang-kadang aku bising.

bila aku bising, kau menengking. aku bising sebab aku tak nak kau jadi macam aku.

selalu buat salah. bila ditegur, marah-marah. sedikit tak kisah perasaan orang. aku dulu begitu.

kau pun tak pernah rasa apa aku rasa. kau tak pernah tahu apa yang aku lalu.

kalau kau tahu, kau tak bising-bising padaku. tapi, kau tak tahu. kau tak pernah ambil tahu.

Aug 19, 2009

hati yang mencari erti


dalam meniti liku kehidupan memang banyak dugaan yang terpaksa kita tempuhi. kadang kala rasa tak larat tertanggung dek badan melayannya. namun, sebenarnya kita sendiri tak pernah mengerti akan hakikat dugaan yang melanda. adakah ia dugaan? atau ia merupakan balasan atas dosa silam? cukup bercakap tentang dugaan. ia akan memberatkan batu gemala si penulis.

seterusnya mari kita berbicara soal kejutan. secara nyata, hidup kita direncanakan oleh Satu kuasa yang tak terlihat oleh mata fizikal seorang manusia biasa. saya tak pasti sama ada mata bukan fizikal boleh melihat, kerana saya rasa mata bukan fizikal saya agak teruk kaburnya. namun menurut pemahaman saya, penglihatan mata bukan fizikal lebih jelas berbanding mata fizikal. berbalik soal kejutan, amat kurang mereka yang mampu meramal dan menerima kejutan. sebab itulah ia dinamakan kejutan. sekali jika tersua akan satu kejutan, maka akan terlihat oleh kita berbagai reaksi dari si penerima kejutan. ada yang tenang, tidak kurang yang melatah. kita mungkin boleh bersahaja dalam menerima suatu kejutan, namun jika tiba pada suatu takat, kejutan tersebut akan membuat diri kita seperti hilang pedoman. malah suatu pegangan dan kepercayaan akan turut goyah jika dihidangkan dengan sebuah kejutan yang dahsyat. hanya sekadar itu saya berbicara tentang kejutan.

seterusnya mari meneliti soal pengorbanan. ramai orang yang boleh berkorban. berkorban wang ringgit, masa, tenaga, malah berkorban nyawa. namun berapa orang yang sanggup mengorbankan perasaan demi suatu perasaan? meninggalkan kemanisan demi menghayati erti kepahitan. menelan segala keburukan demi mengejar suatu kebajikan. cerita tentang pengorbanan ingin saya hentikan di sini, kerana saya rasa belum layak untuk mengulas perihal suci sebuah penghidupan yang sejati. saya seorang yang belum punya walau satu pengorbanan untuk dibicarakan.

ramai yang mengenali diri saya. malah ramai juga yang mampu meneliti serta memahami peribadi saya. yang sebenarnya, bahawa saya sendiri tak mengenali diri sendiri. sedangkan hati budi sendiri sukar dierti, manakan mahu ia menyingkap peribadi. namun sejenak membuat fikiran kembali bersinar, hati kembali merenung. bahawa ia bukan milik saya. tiada walau satu zarah ia milik saya.

ada satu perasaan yang ingin saya kongsikan. perasaan itu tercetus ekoran fitrah semulajadi insan yang ingin mempunyai perasaan, dilayan dengan perasaan yang sama, serta berkongsi kedua-dua perasaan menjadi satu perasaan. ingin diluah perasaan itu melalui kata dan bicara. namun adalah lebih bermakna jika perasaan itu sendiri yang membenihkan perasaan melalui kata bicara hati. sekali perasaan terdetik di hati adalah lebih bererti dari seribu kali mendengar luahan janji. ada suatu kerisauan jika perasaan itu tidak mendapat layanan dari perasaan yang satu lagi. namun sekali lagi, hati itu bukan milik peribadi. dalam suatu masa akan dikhabarkan hal perasaan kepada pemilik jasad, nescaya mendapat keredaan dari pemilik roh.




pengalaman pertama kali berada di Pasar Seni amat mengasyikkan saya. saya leka memerhatikan gelagat dan berbagai ragam manusia yang melintas di hadapan saya. ada yang berpakaian kemas, ada yang hanya ala kadar, dan ada yang seakan-akan tidak berpakaian.

namun apa yang lebih menarik perhatian saya adalah persembahan dua orang pemuzik jalanan yang mempunyai bakat seni yang sejati. bila saya katakan sejati, makna kata bakat mereka memang sepatutnya mempunyai nilai komersil yang tinggi. saya yakin jika mereka mengambil bahagian dalam program realiti tempatan yang tidak berpandukan sistem khidmat pesanan ringkas, pasti mereka akan menang. namun apakan daya, mereka tidak punya rupa sekacak Tomok mahupun rambut yang berwarna-warni.

seketika mereka sedang asyik memetik gitar, datang seorang yang boleh disifatkan sebagai "kurang waras". orang kurang waras (okw) ini begitu galak menghayati lagu-lagu yang dimainkan. saya jadi kaget sebentar apabila okw tersebut mencapai mikrofon dan bersiap-sedia menyanyikan sebuah lagu. dalam hati saya, "mengacau betullah orang gila ni! tolonglah ada seseorang yang menghalangnya." namun apa yang berlaku lebih memeranjatkan saya. insan yang saya sifatkan gila tadi boleh menyanyi lebih baik daripada saya. bahkan saya rasa dia juga layak untuk bertanding dalam program-program realiti televisyen. tapi sayang. dia juga tidak kacak, tidak mempunyai rambut berwarna-warni, berbaju comot, dan gila!

sejenak saya terfikir. kenapa begitu mudah saya memberi persepsi negatif terhadap orang ini? adakah kerana dia kurang waras maka saya yang waras ini layak untuk memberi tanggapan
buruk serta merendah-rendahkannya? adakah kerana dia tidak kacak maka saya yang kacak ini boleh menghina serta mencacinya?

dengar dengan telinga jangan percaya,
lihat dengan mata jangan percaya,
ada akal gunakan dengan bijaksana.

mungkin inilah dia....







*nota: gambar di atas hanyalah gambar hiasan.

entri ini ditulis ketika saya masih belum boleh tidur ekoran menunggu baju yang sedang dibasuh. banyak sungguh perkara yang ingin saya tuliskan, namun semuanya terbantut ekoran tuntutan kerja yang bertimpa-timpa. namun saya terpaksa juga menulis bagi mengelakkan blog ini dimakan anai-anai dan dipenuhi sawang.

melalui entri ini, saya ingin merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat dalam menjayakan demonstrasi pengambilan ahli baru PSSCM UTP semester July 2009.

walaupun rata-rata ahli skuad merupakan muka baru, namun kegigihan serta komitmen yang mereka berikan seharusnya dicontohi oleh yang lain. sejambak tahniah saya ucapkan kepada mereka kerana berjaya mengharungi latihan yang memenatkan serta mampu menahan gugup dan gemuruh di hadapan khalayak umum.

seterusnya saya ingin menyeru diri ini serta rakan-rakan ahli yang lain di UTP khasnya bagi terus menabur jasa serta menyumbangkan keringat dan masa bagi membantu menjalankan segala aktiviti persatuan. peruntukan masa 24 jam sehari 7 hari seminggu amat cukup untuk kita memenuhi segala tuntutan kehidupan. jangan dibazirkan masa yang terus berlalu. rancanglah segala urusan dengan cermat dan teliti.

ada suatu perkara menarik yang ingin saya ceritakan. tapi bukan kali ini. cerita tersebut perlu digarap lebih menarik agar mesej yang ingin saya sampaikan jelas dan mudah difahami. nantikan...