Ini adalah siri yang ketiga. Terima kasih pada yang masih mengikuti siri ini. Pada yang baru membaca, sila ikuti dari siri pertama dan kedua. Kali ini kita ikuti lanjutan kisah Ayim dan Ecah di sekolah. Selamat membaca.
Bab 3: Sikat Rambut
Petang itu ada gotong-royong di sekolah. Kelihatan guru-guru sibuk memberi arahan kepada murid kelas masing-masing. Ada yang mengecat pagar sekolah, ada yang mencuci tandas, dan ada yang membersihkan kelas. Ecah berada di taman, sibuk menyapu daun-daun kering yang gugur. Berhampirannya, kelihatan beberapa orang budak lelaki yang riuh bermain. Mungkin kerana tiada guru bertugas di situ, mereka berani membuat kucar-kacir. Lain yang disuruh, lain pula yang dibuat. Gelagat mereka semakin lama semakin menjadi-jadi. Kini mereka mengganggu pula murid-murid lain yang sedang sibuk membuat kerja. “Pranggg!!!” Habis berkecai sebuah pasu mereka kerjakan. Ecah datang ke arah mereka dan cuba menegur. “Boleh tak kau orang bermain di tempat lain? Kami penat-penat mengemas, mudah-mudah kau orang buat selerak!” tegurnya tegas. Namun tegurannya disambut dengan gelak tawa budak-budak nakal itu. Belum sempat Ecah menyambung ayat, seorang daripada mereka dengan tiba-tiba membaling sekepal tanah basah ke kepala Ecah. Habis kotor muka dan rambut Ecah. Kali ini Ecah hanya mampu menangis dan berlari ke dalam kelas. Diseka rambutnya yang penuh dengan tanah itu sambil air matanya masih mengalir. Ada harus dia dimarahi abahnya jika balik dalam keadaan kotor sebegitu.
Tiba-tiba Ecah terasa bahunya dipegang seseorang. “Kenapa Kak Ecah menangis? Kenapa rambut Kak Ecah penuh tanah?” soal Ayim bertalu-talu. Ecah tidak menjawab. Matanya masih berair. Ayim ambil kerusi dan duduk sebelah Ecah. Dia keluarkan sikat dari poketnya, dan disisir tanah yang masih melekat pada rambut Ecah. “Kak Ecah ni macam budak-budak lah. Sudah besar pun masih orang sikatkan,” Ecah hanya tersenyum mendengar kata-kata Ayim. Dia masih belum boleh bersuara. Tak pernah dia menangis di hadapan Ayim. Ditahannya air mata yang masih bergenang. “Rambut Kak Ecah cantik. Panjang, lurus, wangi. Seronok ya rambut panjang macam Kak Ecah?” Ayim cuba menghiburkan hati Ecah. Kali ini Ecah sudah mampu tergelak. “Budak lelaki macam Ayim mana boleh simpan rambut panjang. Nanti mesti bapak Ayim marah,” Ecah bersuara dalam esak. Kali ini Ayim pula yang tersenyum. Dia sudah berjaya memujuk Ecah. “Boleh Ayim sikat rambut Kak Ecah hari-hari?” tanya Ayim. Ecah senyum dan mengangguk.
Selesai gotong-royong, Ecah hantar Ayim pulang seperti biasa. Dikayuhnya basikal tua itu menuju ke rumah Ayim. Ayim hanya duduk diam di belakang. “Turunlah, Ayim. Kita dah sampai,” Ecah mengejutkan Ayim yang sedang mngelamun jauh. “Terima kasih, kak!” jawab Ayim seraya berlari masuk ke rumah. Ecah kayuh basikal keluar dari kawasan rumah. Tiba-tiba dia berhenti kembali. Diseluk saku seluar trek yang dipakainya. “Eh, sikat si Ayim! Besok sajalah aku pulangkan di sekolah,” getus hati Ecah.
bersambung…
p/s: gambar dari Google