dari kecil kita dididik untuk mendengar kata ibu bapa. masuk zaman persekolahan kita mula diterapkan untuk menerima arahan yang lebih serius. hal yang sama terus berlaku di menara gading dan alam pekerjaan.
dari kecil kita akan menangis dan mengadu jika kesedihan datang melanda. pada zaman sebelum akil baligh kita akan mencari ibu, bapa, atau adik beradik untuk bermanja dan melentokkan kepala di bahu mereka. seterusnya setelah bergelar remaja, teman sebaya lebih menjadi pilihan untuk kita meluahkan rasa.
dari kecil sehingga dewasa, pastinya kita mempunyai tahap kematangan yang berbeza. kemahiran mengawal emosi juga sepatutnya berkadar langsung dengan tahap kematangan tersebut. begitu juga seharusnya berlaku kepada kemahiran kita untuk menyelesaikan masalah.
sebenarnya, saya agak tidak bersetuju dengan tindakan sesetengah pihak yang mengambil langkah dangkal ataupun kebudak-budakan untuk menyelesaikan masalah. sebagai orang dewasa yang rasional, sesuatu masalah haruslah dilihat sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan, bukan sebagai suatu yang perlu dipanjangkan atau ditokok tambah.
memang kadang-kala kita sedikit tersasar dari landasan rasional. jika sesuatu masalah timbul dan dilihat seperti tiada jalan penyelesaian, kita akan lebih cenderung untuk berkokok menyalahkan pihak lain tanpa dilihat sebab yang lebih mendalam. hal ini sebenarnya akan lebih memburukkan keadaan terutamanya jika melibatkan hal-hal sensitif seperti perpaduan dan kemasyarakatan.
namun saya kira, atas sebab itu kita dikurniakan dengan akal yang mempunyai kemampuan untuk berfikir serta tahap kematangan seiring usia bagi melakukan analisa terhadap masalah yang melanda. ketika kecil, kita lebih cenderung untuk menangis sebagai langkah penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. tidaklah sepatutnya langkah serupa diambil ketika usia sudah berganjak dewasa. bagi kaum wanita, mungkin dengan cara itu mereka dapat meluahkan segala perasaan yang terpendam. tetapi sebenarnya itu adalah konteks yang berlainan. saya berbicara soal kerja dan professionalisme. mari saya berikan contoh. sekiranya kita seorang doktor, adakah kita akan menangis jika gagal menyembuhkan seorang pesakit? sekiranya kita seorang pemandu teksi, adakah kita akan menangis jika teksi kita rosak? sekiranya kita seorang jurujual, adakah kita akan menyalahkan pembeli jika barang jualan tidak laris? jika kita masih menangis atau lebih suka mencipta alasan, selayaknya kita digelar golongan primitif.
meneliti situasi sekarang, kita dihamburkan dengan berbagai kemewahan dan keselesaan. serba-serbi kini menjadi mudah dan selesa. jarang ada orang yang sanggup keluar dari zon selesa serta berani mengambil risiko dan tanggungjawab. justeru ramai yang lebih rela menunggu arahan dari membenihkan buah fikiran sendiri. mungkin takut disalahkan jika idea yang dikeluarkan akan memakan diri sendiri. atau mungkin juga malas untuk menggalas tanggungjawab yang lebih berat. maka langkah berdiam diri dan menurut sahaja segala arahan difikir sebagai opsyen terbaik. kesannya, generasi hari ini menjadi pasif dan kurang produktif.
saya berpendapat generasi kini mempunyai kemahiran akademik yang lebih baik dan tinggi. namun "bekas" untuk menampung ilmu-ilmu akademik tersebut dilihat semakin rapuh dari hari ke hari. air tidak dapat ditampung tanpa bekas. begitu juga dengan ilmu. bekas itu harus dijaga teliti dan diperbaiki setiap hari agar kesinambungan dan kemampanan ilmu terus berlaku. bekas itu mungkin boleh dirujuk sebagai modal insan.
pengertian saya terhadap modal insan sangatlah sedikit. saya hanya mampu simpulkan modal insan sebagai keimanan dan kemajuan.
p/s: tiba-tiba seperti mahu menulis topik berat.
New Writter
3 years ago
2 reaksi:
sya retwit blog/post anda..
good post kord.
p/s: byk lagi perlu dipelajari dlm hidup ini..
Post a Comment