diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

Sep 24, 2010

Kord Yang Pemalas

ya, aku memang pemalas. dah lama aku tak menulis sebab malas. idea nak menulis bukan tak ada. ada, tapi kadang-kadang aku buntu macam mana nak menulis. bukan senang nak fahamkan orang sesuatu yang kita tahu dan faham. maka, dialog berikut sering kita dengar:

"ala, yang macam ni tu"
"ala, yang gitu-gitu la"
"ala, dia macam ni sikit lepas tu macam tu pulak, kau faham tak?"

sebenarnya banyak benda yang aku nak tulis. dari Piala Dunia 2010 kelmarin sehinggalah Aidilfitri yang masih lagi terasa kehangatannya ni. termasuklah kes pembunuhan kejam terhadap jutawan wanita Melayu, Allahyarhamah Sosilawati.

kalau aku tulis pasal Piala Dunia 2010 sekarang, orang akan kata aku ketinggalan zaman dan suka tulis benda basi. tapi kalau aku tulis empat tahun lagi sejurus sebelum Piala Dunia 2014 berlangsung, orang akan kata aku pencinta sejarah. sama juga kalau aku berjalan-jalan dengan beg tangan wanita di khalayak, orang akan kata aku pondan, gila, dan sengal. tapi kalau Dhafi, Syahir, Beckham, ataupun Lee Dong Wook yang buat perkara serupa, orang akan kata, "wah, inilah dia trend semasa lelaki metroseksual!". jadi, empat tahun lagi tolong ingatkan aku untuk tulis entri pasal Piala Dunia 2010.

tentang raya kali ni pun tak banyak yang aku nak cerita. seronok berada bersama keluarga dan berjumpa sanak saudara serta heboh dan hiruk dengan kawan-kawan. gila-gila tetap macam dulu, cuma kali ini dengan versi lebih matang. cuma aku tertanya-tanya, lepas masing-masing membina hidup sendiri nanti akan begini lagikah? besar sungguh hikmah Ramadhan dan Syawal kalau kita mahu membuka minda. oh ya, raya kali ni aku demam. tak ingat raya keberapa, tapi bukanlah teruk sangat. orang lain sibuk makan kuih, aku pulak sibuk makan dadah.

pasal kes pembunuhan tu pulak, aku tak berniat nak komen lebih-lebih. sebab aku tau kalau aku cakap banyak, nanti orang tuduh aku racist. tapi itulah hakikat yang aku rasa. yang paling aku kesal, pembunuhan ni berlaku sewaktu raya. lantas menambahkan tahap ke'racist'an nya. semoga roh arwah ditempatkan di kalangan orang beriman.

sekarang kita masuk kes BENDERA pulak. BENDERA adalah sekumpulan LEMBU. full stop.




p/s: entri kali ni aku gunakan "aku" sebagai kata ganti diri. ia memberi satu rasa berbeza ketika menulis walau dengan hanya mengubah dari "saya" ke "aku". linguistik memang misteri.




ok, tadi terpandang bulan. tak sangka pula malam ini bulan penuh. cantik! itu pada pandangan pertama. pada pandangan kedua, ketiga, dan seterusnya ia tetap cantik. tapi itu pada pandangan. apa pula pada hakikinya?

menurut bukti ilmu alam atau sains, bulan itu taklah secantik mana. berlubang-lubang, penuh dengan kawah, dan tanpa sebarang habitat hidupan. tapi dari sudut pandangan di atas bumi, keburukan dan kejelikan bulan itu ditutup dengan sinar keindahannya. kuning keemasan, bersinar, dan menerangi dalam kegelapan malam. nyata, yang menampakkan bulan itu indah tetap adalah kepekatan malam. bulan itu mesti dipasangkan dengan malam.

tetapi manusia masih mahu mengatakan dan mempercayai bulan itu cantik, walau mereka tahu dan juga percaya bukti saintifik bahawa bulan itu tidak cantik. adakah kerana manusia lebih mempercayai apa yang ada pada pandangan mata? atau manusia lebih memandang kebaikan sesuatu lebih dari keburukannya?

para saintis bersepakat mengatakan tiada sebarang hidupan yang berhabitat asal di bulan. tetapi seketika heboh juga penemuan molekul air (H2O) di bulan. dengan penemuan molekul itu, timbul teori mengatakan terdapat hidupan primitif di bulan. mungkin dalam bentuk sel atau bakteria. kerana saintis berpegang kuat pada kepercayaan "tradisional moden" bahawa asas benda hidup adalah air. ada air, adalah kehidupan. jadi bagaimana kalau wujud hidupan yang tidak memerlukan air untuk hidup? tak layakkah ia digelar hidupan? kes serupa terhadap deklarasi virus sebagai benda hidup. hanya kerana ia tidak mengamalkan sebahagian dari fungsi hidupan, ia masih tidak diiktiraf sebagai benda hidup hingga kini.

jadi jelas bahawa manusia sewenang-wenangnya mengkelaskan sesuatu mengikut hati budi mereka. itu cantik, ini tidak. itu baik, ini buruk. malah manusia juga tak pernah mencapai kesepakatan atas sebahagian perkara. hal ini kerana wujud satu perkara dalam diri setiap manusia yang dipanggil "persepsi" atau kadang-kadang boleh dipanggil "perspektif". bahasa mudahnya mungkin boleh dipanggil "pandangan".

perbezaan atau pertindihan persepsi ini biasanya akan menerbitkan konflik antara pihak terlibat. ambil kes kahwin lari sebagai contoh. ada pendapat mengatakan kahwin lari adalah perbuatan tidak baik kerana tidak mendapat persetujuan keluarga. namun terbit juga pendapat, kahwin lari diharuskan bagi mengelakkan gejala maksiat yang lebih teruk. lebih baik kahwin lari dari berzina. mungkin betul juga. justeru, pendapat mana yang mahu kita pakai?

nah, sebenarnya saya dah merepek jauh! asalnya cerita bulan, kemudian masuk cerita hidupan, kini melalut pula sampai kahwin lari. bila jari menaip lebih laju dari otak berfikir, inilah jadinya (hanya sekadar hiperbola).saya rasa ada eloknya kalau saya beri kesimpulan untuk entri kali ini.

setiap manusia bebas untuk punya pandangan sendiri, asalkan ia tidak bertentangan dengan norma-norma kehidupan serta fitrah yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Agung. pertindihan pendapat itu boleh mendatangkan keuntungan sekiranya diadun dengan betul, tetapi boleh juga mendatangkan bencana jika emosi dan amarah dibawa sekali dalam perbincangan. justeru, gunakan akal dengan bijaksana dalam mentafsir segala proses yang berlaku dalam urusan kehidupan. jangan kerana desakan nafsu, fungsi akal yang waras itu dikesampingkan demi memuaskan tuntutan nafsu yang berhaluan kiri. cuma kita perlulah berusaha untuk mencapai keberkesanan akal yang optimum. keberkesanan akal itu terkandung dalam ayat keenam pada yang pertama (tafsiran sendiri).

pernah suatu ketika, apabila saya sedang makan-makan bersama beberapa orang kawan di sebuah kafe, kami dikejutkan dengan satu peristiwa yang menyayat hati. seekor anak kucing yang masih kecil terjatuh dari atap kafe terhempas ke lantai. ia menguit-nguit seketika dan akhirnya mati di situ juga. lehernya patah. tidak berapa lama kemudian, datang ibu kucing tersebut, lalu membawa anaknya yang telah mati itu ke tempat asal mereka, di samping adik-beradik yang lain. apa yang terjadi selepas itu tak dapat saya pastikan.



gambar hiasan

saya mungkin tak memahami bahasa haiwan, tapi saya rasa saya faham naluri ibu kucing itu. ia tak akan datang untuk mengambil bangkai anaknya jika ia tak punya perasaan kasih sayang. ibu kucing itu mungkin tidak menangisi kematian anaknya, tapi saya yakin ia sedih atas kehilangan anaknya. ibu kucing itu mungkin tak punya akal, tapi saya yakin ibu kucing itu punya naluri kasih sayang. ibu kucing itu mungkin seekor haiwan, tapi sifat kasih sayangnya memberi tauladan kepada kita manusia yang punya akal.

tapi rupa-rupanya masih ada manusia sekarang yang lebih rela menjadi pembunuh. jangan terkejut kalau setiap hari kita dihidangkan dengan berita-berita kes pembuangan bayi. tambah menyedihkan apabila insan-insan suci ini dilayan lebih teruk dari binatang. sampaikah hati kita melihat wajah-wajah tak berdosa ini dilonggokkan bersama dengan sampah-sarap? sampaikah hati kita melihat mayat mereka mereput dan lunyai dimakan ulat? sampaikah hati kita mendengar tangisan mereka yang sudah tak bersuara? mengapa sebegitu rupa layanan yang mereka terima? adakah nyawa mereka sudah tak ada nilainya sehingga diperlakukan begitu?

sejahat-jahat Yahudi, mereka cuma membunuh anak-anak orang Palestin. mereka tidak membunuh anak sendiri. tapi kenapa orang Melayu kita yang beragama Islam sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini? rata-rata bayi bernasib malang yang ditemui pasti berketurunan Melayu. jarang dari keturunan lain? kenapa? menurut pensyarah saya, di Ipoh sahaja sekurang-kurangnya dua kes bayi yang didaftarkan tanpa ibu bapa berlaku setiap hari. itu di Ipoh sahaja! kalau di seluruh Perak? 1Malaysia? itu sehari. kalau seminggu? sebulan? setahun?

Malaysia semakin menuju kemajuan. majukah?



"we are no different"

tersebut suatu kisah benar ketika saya dalam perjalanan pulang ke kampung halaman sempena cuti yang tidak berapa panjang, tapi bolehlah juga untuk bersuka-suka sebentar bersama famili. dari tronoh, saya dan beberapa kawan menumpang kereta seorang lagi kawan yang lain sehinggalah ke bukit jalil. dari bukit jalil saya membeli pula tiket bas ekspres menuju terus ke bandaraya johor bahru. tapi bukan itu yang saya nak ceritakan.

untuk dijadikan cerita, saya telah dilamar oleh sebuah syarikat bas ekspres untuk menggunakan perkhidmatan mereka. saya bersetuju tanpa sebarang syarat kerana malas untuk menunggu lama di situ. orang ramai yang berpusu-pusu membuat kepala saya berpusing-pusing ibarat roda impian. maka setelah lamaran mereka itu saya terima, maka naiklah saya ke atas bas mereka. bersih dan selesa. saya tidak menunjukkan sebarang cekadak kerana saya tahu bas itu mampu membuat saya terlena dengan aman dan damai. maka, duduklah saya dengan tenang di atas bas tersebut sementara menunggu ia akan bergerak memulakan perjalanan. sehinggalah seorang penumpang yang saya kira berbangsa pakistan mencemar ketenteraman awam dengan menunjukkan karenah yang bukan-bukan dan menjengkelkan penumpang yang lain. dengan tidak semena-mena, bangun seorang pemuda dari tempat duduk penumpang seraya menyuruh penumpang pakistan itu diam. rupa-rupanya pemuda tersebut merupakan pemandu bas yang kami naiki itu. gaya dan nada suaranya kasar dan bengis memarahi penumpang pakistan itu tadi. situasi itu menambahkan kejengkelan saya. jengkel dengan mat pakistan tadi, juga dengan pemandu bas tersebut. langsung tidak merendahkan suaranya. beberapa ketika, suasana itu reda begitu sahaja dan bas pun bergerak menuju destinasi. dan saya pun tidurlah seperti yang saya hajatkan sejak dari tadi lagi.

kira-kira bas sudah bergerak separuh perjalanan, tiba-tiba saya terjaga dari lena dan tak boleh tidur semula. entah telefon siapa asyik berdering-dering. selaku rakyat yang prihatin, saya toleh kiri dan kanan untuk memastikan dari mana datangnya nada dering yang begitu membingitkan tadi. rupa-rupanya telefon si pemandu bas. wah, hebat gayanya! stereng dipegang dengan siku, telefon pula dipegang dengan pipi, sambil tangannya saya lihat mengurut-ngurut manja dadanya. saya kagum dengan kecekapannya bercakap di telefon sambil memandu. tetapi sebenarnya rasa menyampah lebih menguasai diri pada ketika itu sambil dalam hati berkata, "bahaya la samdol, drive camtu! dah lama hidup ke?!!". tapi belum sempat saya meneruskan makian dalam hati, saya dapati gelagat pemandu itu amat berlainan sekali dengan tadi. kalau tadi dialah samseng malaya, tapi kini saya boleh gelarkan dia "Pemandu Bas Paling Jiwang Tanah Air". mari ikuti sedutan perbualan beliau di telefon:

pemandu: abang tgh bawak bas ni, sayang.on the way nak pi johor.
"sayang": ..........(manalah saya boleh dengar!)
pemandu: yala, nanti abg baliklah ya. esok lusa ka. nanti kita jumpa la.
"sayang": ...................
pemandu: tu la...abg pun rindu kat sayang. dah makan?
"sayang": ....(mungkin jawapan yang diberikan ialah "belum")
pemandu: la,awat tak makan lagi? nanti perut masuk angin. sayang pi la makan ya. top up ada lagi? kalau dah habis bagitahu la ya. nanti abg top up kan.
"sayang": .....................
pemandu: ya, ya, i love you too...muuah muuah!

ok, saya tipu. "muuah muuah" tidak ada dalam dialog mereka. saya hanya menambah perisa. tapi perbualan mereka membuatkan saya tergelak (dalam hati). "muka ganas, hati dalam ada taman tasik titiwangsa!", itu kata hati saya. tadi punyalah garang, sekarang dah jadi jiwang semacam. siap cakap sayang-sayang lagi!

tapi sebenarnya itulah lelaki. walau garang macam mana pun, tetap cair dengan perempuan. seorang pahlawan yang gagah di medan perang membunuh musuh, tetap akan mengalah dengan wanita yang disayanginya. bagaikan ada kuasa mistik, wanita tidak perlu bersusah payah mengangkat senjata untuk menewaskan lelaki. cukuplah kata-kata asmara yang mampu membuat lelaki hilang keegoannya. pepatah juga ada mengatakan, di sebalik kejayaan seorang lelaki, pasti ada seorang wanita di belakangnya.

persahabatan john terry dan wayne bridge terjejas kerana wanita, reputasi bill clinton merudum kerana monica lewinsky, david beckham mengambil kira pandangan victoria sebelum berpindah ke LA Galaxy, anwar ibrahim berjaya menjadi MP juga kerana azizah rela melepaskan kerusinya. begitulah antara beberapa contoh mudah yang boleh kita dapati kesan pengaruh wanita terhadap seseorang lelaki.

justeru, marilah kita menjadi normal. kalau sudah menjadi lelaki, biarlah tetap lelaki sehingga ke akhir hayat. janganlah pula diubahsuai mengikut spesifikasi sendiri. cukuplah apa yang ada. ok, sampai sini sahaja yang saya nak katakan. (apa punya moral of the story ni??)



"love you, jijah" says Anwar


saya dibesarkan dalam sebuah keluarga melayu, di sebuah kampung yang majoriti penduduknya melayu, bersekolah di sekolah yang hampir tiada bukan melayu, dan sejak kecil lebih selesa berkawan dengan orang melayu. dan apabila dah meningkat dewasa ni, barulah mula berjinak-jinak untuk berkawan dengan kawan2 bukan melayu. saya rasa ini adalah situasi normal bagi kebanyakan orang di malaysia, tak kira apa bangsa pun. hakikat itu perlu diakui.

bukan mudah sebenarnya untuk berkawan dengan orang yang lain kepercayaan dengan kita sebenarnya. lain bangsa, lain agama, dan lain budaya. tutur patah perkataan yang diucap harus dijaga agar tidak menyinggung perasaan mereka. malah kita juga pasti mudah tersinggung apabila kawan2 yang tidak sebangsa dengan kita meluahkan kata2 yang kita sifatkan sebagai menghina kepercayaan kita.

kebelakangan ni jika kita buka Facebook, pasti kita akan terjumpa group2 yang berunsur keagamaan. dan kebanyakan darinya bertujuan untuk mempertahankan kesucian agama masing2 apabila kepercayaan mereka diperlekehkan, kata mereka. group2 seperti ini mendapat sambutan yang begitu hangat dari orang2 melayu kita di Facebook.

namun sebenarnya saya agak menyampah dengan kewujudan group ini. kerana apa? kerana komen2 yang terdapat dalam group tersebut adalah sangat menjengkelkan dan membuat saya rasa sangat meluat. saya faham dengan semangat mereka untuk mempertahankan dan membela agama sendiri, tapi tak perlu saya rasa untuk keluar perkataan yang memaki hamun. saya tak rasa yang makian mereka itu mampu memberi kesan kepada sesiapa pun. lagak mereka seperti pejuang Islam yang bersenjatakan jari-jemari yang pantas menaip di keyboard komputer dengan perkataan2 yang sangatlah tak bertamadun. Fisabilillah kata mereka. hah, begitukah caranya?! agaknya mereka tak sedar yang kelakuan mereka itu membuatkan agama mereka semakin dipandang serong masyarakat umum.

sepatutnya mereka sedar akan kesan internet terhadap perpaduan masyarakat di negara kita. saya bukanlah mahu menjadi seorang negarawan mahupun ahli politik, tapi sekurang2nya saya tahu bahawa internet itu mampu memberi kesan buruk terhadap kita. provokasi2 yang ditimbulkan di internet itu pada hemat saya hanyalah permainan anak2 yang belum cukup umur. jadi wajarkah kita melayan perangai anak2 dengan bersikap keanak-anakan? saya juga bukanlah seorang melayu yang sejati dari segi kata dan tingkah laku. kadang rasa amarah itu ada juga apabila terlihat sesuatu yang menghina agama saya di internet. tapi saya kira sebelum kita perbetulkan persepsi orang bukan Islam terhadap Islam, apa kata kalau kita perbetulkan diri kita dahulu? bukankah itu lebih molek? sebelum kita mahu berbicara erti perjuangan, apa kata kalau kita kaji makna perjuangan itu dahulu? bukankah itu lebih elok?

kita tak mahu orang lain menghina kita. justeru, kita juga tak sepatutnya menghina orang lain. biarkan politik itu berada dalam dunia mereka sendiri. orang politik bebas untuk berbicara apa sahaja yang mereka fikirkan boleh membantu dalam perjuangan politik mereka. saya lebih selesa berkawan sesama melayu. tetapi saya juga mahu berkawan dengan orang cina, india, iban, kadazan, dusun, melanau, dan orang asli.

Apr 16, 2010

Kisah Puteri



ini kisah syairnya aku
aku berkhayal dalam lagu
lagu indah melodi syahdu
syahdu diulit dalam mimpiku

suatu malam aku bermimpi
mimpi indah awan pelangi
pelangi tujuh warna berseri
seri ceria menghibur hati

unggas menyanyi kicauan burung
burung terbang melayang-layang
layangnya rendah hatinya girang
girang berseri hatinya sayang

aku berjalan menyusur taman
taman penuh bunga-bungaan
bungaan cantik menjadi idaman
idaman hati puteri impian

cantik puteri sungguh jelita
jelita rupa, laku, dan kata
kata dipelihara, laku dijaga
dijaga budaya berlandas agama

aku melihat berdirinya puteri
puteri menyanyi merdu sekali
sekali dialun lagu berseni
berseni madah lahir di hati

sekali ku tersedar dari lena
lena terjaga hilanglah semua
semua dilihat kini tiada
tiada di mata, hanya di jiwa

kisah puteri hanya di mimpi
mimpi indah kurnia Ilahi
Ilahi merancang juga memberi
memberi bala juga rezeki

namun aku masih percaya
percaya puteri masih ada
ada jodohnya adalah ia
ia muncul sesampainya masa

ingatlah kita insan yang hina
hina dan lemah di sisi Pencipta
Pencipta berkuasa atas segala
segala di langit juga dunia



hidupnya kita dalam khayalan hanya memberi satu harapan. harapan itu kemudian menjadi satu lagi harapan dan kemudian menjadi satu lagi harapan. maka tinggallah ia sekadar harapan. hadapilah kenyataan kerana kenyataanlah yang akan menghurai segala teka-teki dalam kehidupan. persoalannya cuma bila.

Mar 9, 2010

Wallpaper Saya?



saya telah di'tag' oleh saudari effa. maka, atas sebab itu saya meletakkan gambar di atas.

tersurat: gambar di atas merupakan printscreen wallpaper yang saya gunakan sekarang. barang-barang tersebut merupakan sebahagian dari koleksi barangan Chelsea yang ada dalam simpanan saya. sebahagiannya saya beli sendiri dan sebahagiannya adalah pemberian dari penyokong yang setia bersama The Blues. ada beberapa lagi barangan lain yang tidak sempat disertakan dalam gambar. mungkin akan disertakan dalam sesi fotografi kali kedua selepas ini.

tersirat: kenapa saya meletakkan gambar tersebut? jawapannya cukup mudah. kita sentiasa ingin melihat sesuatu yang kita suka atau minat setiap hari. adalah mustahil untuk saya melihat Chelsea bermain di hadapan mata saya pada setiap perlawanan. dan adalah mustahil juga untuk saya menjadikan Frank Lampard, John Terry, Didier Drogba, dan Joe Cole sebagai teman sebilik saya kerana mereka menetap di United Kingdom, saya pula di Malaysia. jadi cukuplah menjadikan gambar-gambar yang berunsurkan Chelsea sebagai wallpaper.

terselit: kenapa saya suka Chelsea? kali ini saya rasa jawapannya agak sukar. dalam melalui perjalanan hidup, kita pasti akan berdepan dengan pilihan. suka atau tidak, semestinya kita perlu melaluinya. dan kadang-kala kita tidak perlu punya sebab atas pilihan yang kita lakukan. seperti saya memilih untuk meminati Chelsea, saya pun tidak pasti apa sebabnya. Chelsea pasukan hebat? Manchester United, Arsenal, Liverpool, AC Milan, Inter Milan, Barcelona, dan Real Madrid juga pasukan hebat. Chelsea bermain cantik? terus terang saya katakan, Arsenal mampu bermain lebih cantik. Chelsea pasukan unggul? Manchester United punya kejayaan lebih banyak dari Chelsea. lantas, apa sebabnya? maaf, saya tidak mampu untuk menjawab. tapi ini pilihan saya. setiap apa yang kita pilih dalam hidup kita tidak semestinya betul, tetapi tidak juga salah. cuma terima pilihan kita dengan penuh keikhlasan dan penerimaan. justeru pilihan itu mampu memberi kepuasan dan ketenangan kepada kita. saya berkata secara umum, bukan dalam konteks bola sepak sahaja.