diriku peribadi

...kisah aku dalam melayani aksi kehidupan...

terbaru, saya melihat gambar kawan-kawan sekolah saya. kebanyakan mereka sudah kelihatan lain dari segi susuk tubuh dan penampilan. yang dulu kecil molek, kini kelihatan lebih berisi (termasuk saya agaknya), yang dulu tidak tahu berpenampilan kini sudah pandai bergaya. mereka kini kelihatan lebih hebat berbanding zaman sekolah dulu. namun begitu, wajah-wajah mereka masih saya kenali (bagi yang tidak melakukan suntikan botox) dan nama mereka mampu saya ingat siap berbin dan berbinti.

dahulu di sekolah, kami melalui susah dan senang bersama. walaupun ada insiden-insiden yang tidak diingini berlaku, namun pada saya itu adalah asam garam dalam berkawan. saya masih ingat kami pernah didenda berlari keliling sekolah, didenda bermain gitar dan menyanyi di dataran perhimpunan pada pukul satu pagi, berlatih kawad kaki, "menyertai sukan lompat pagar pada waktu malam", dan berbagai aktiviti lain yang terkesan di hati saya. semuanya memberi seribu kenangan kepada saya secara peribadi. kini semua itu tiada lagi. masing-masing sudah mempunyai arah tuju sendiri dalam mencorakkan masa depan. setakat yang saya tahu, kawan-kawan saya sudah punya asas dalam membina kehidupan bekerjaya. Alhamdu Lillah.

pada hari pertama saya menjejakkan kaki di Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi (SAKTI), semuanya begitu asing pada saya. tiada siapa yang saya kenal dan saya sungguh risau jika tiada siapa yang ingin berkawan dengan saya. iyalah, pada waktu itu saya masih budak-budak dan mereka kelihatan besar-besar belaka. tambahan pula, budak kampung seperti saya bukanlah pandai bersosial seperti ramai kawan-kawan saya yang lain. mereka kelihatan senang mesra sesama sendiri, sedangkan saya masih terpinga-pinga mencari kawan. saya amat sedih pada waktu itu. justeru itu, memalukan diri sendiri adalah antara perkara yang boleh saya lakukan untuk menarik perhatian mereka. namun saya silap, mereka adalah orang baik-baik. mereka sanggup menerima saya sebagai kawan walau siapa pun saya. walau saya selalu diejek, sebenarnya itu adalah saat bermakna bagi saya. pada hari terakhir saya bergelar pelajar sekolah, saya menangis. saya menangis di tangga. ketika itu hanya ada seorang yang bersama saya. koja namanya(bukan nama sebenar). saya menangis semahu-mahunya. bagaikan tidak percaya bahawa hari itu saya terpaksa berpisah dengan semua kawan-kawan saya. kami berkongsi kehidupan selama lima atau dua tahun bersama-sama. tak akan saya boleh lupa begitu sahaja. mereka sudah seperti keluarga pada saya. saya sayang mereka.

walaupun kini sudah amat terhad untuk kami saling berjumpa, sebenarnya saya sentiasa ingat dan rindu pada mereka. terbaru, mereka ada berkumpul di sebuah tempat percutian dan saya tidak berkesempatan untuk hadir. saya lihat gambar mereka, dan saya pasti mereka cukup gembira. saya amat senang melihat mereka gembira.

kepada rakan-rakan SAKTI sekalian. saya mohon maaf jika saya amat kurang bersama-sama kalian. bukanlah niat saya untuk mengelak, atau lupa pada kalian. namun kebanyakan masa saya kini sudah diperuntukkan untuk sesuatu. dan sesuatu itu sudah menjadi kehidupan saya sekarang. namun saya masih saya yang kalian kenal dahulu, cuma dalam versi berbeza. Insya Allah, akan saya cuba usahakan mencari kelapangan untuk bertemu kalian. walaupun kalian tiada di mata, hati saya tetap terkenang-terkenang.

satu pesan saya kepada kawan-kawan semua, ingatlah siapa diri kita dan mana asal kita walau di mana kita berada. saya tidak kesal menjadi nakal dahulu jika itulah jalannya untuk saya menerima nasihat. saya harap kalian juga begitu. saya sayang kalian, sebab itulah saya memberitahu.



(kepada rakan-rakan SAKTI, sila tinggalkan nombor telefon anda yang terbaru. telefon bimbit saya yang lama telah rosak)






beberapa gambar jadi kenangan

Sep 12, 2009

menikmati ikatan hati

mengungkap erti persahabatan penuh erti. menjulang erti persaudaraan bertunjangkan keikhlasan. enak bicara baik budi hanya gambaran luar. tiada erti tanpa ikatan hati serta hakikat persaudaraan yang difahami.

istilah umum memberi erti kawanan manusia sama perasaan. rupa bagaimana dikatakan sebenarnya perlu dilalu. demi merasai dan menikmati tauliah hati yang telah diselami. meniti riang dan tangis senang dikongsi. kerana riang dan tangis itu tergambar berbentuk fi'li. mana hanya yang mengerti air mata dalam ketawa barulah menepati satu inti dari ciri.

bukan masa jadi ukuran. bukan kata jadi sandaran. biar hati seiringan dengan perasaan. letakkan rasa itu di hati. terima segala ehwal peribadi tanpa dikira walau seinci. setiap ceruk muka hati dikenali dan diterima tanpa kata. walau penuh titik noda, disyukuri akannya nikmat kurnia. dengan noda itu putihkanlah kegelapan.

Sep 11, 2009

aku budak bodoh 2

siapalah aku untuk menilai
sungguh aku tak pandai

siapalah aku untuk mencaci
sedangkan aku juga manusia keji

siapalah aku untuk berbangga-bangga
padahal aku tak punya apa

siapalah aku untuk berbalah-balah
awal-awal pasti dah kalah

siapalah aku untuk dicari
hidup pun serupa mati

siapalah aku untuk menasihati
diri sendiri pun masih mencari erti




menyelusuri dunia sepi, sering dihinggapi soalan demi soalan. ada terjawab, ada tak terjawab. ada berjawapan, ada dibalas kembali persoalan demi persoalan. namun sedikit demi sedikit terungkai ikatan kebebalan yang bersarang di minda senget insan kerdil penghuni dunia. melonjak gembira sang jiwa tika disuapi halwa rohani yang memberi secebis harapan bahagia. punahlah ia tika ribut melanda dalam tenang sungai mengalir ke muara. sedangkan dulu bahagia dalam ramah dan mesra, kini nama sudah ditanya tanda lupa dalam alpa. yang ditanya tunduk menatap bumi tanda diri tidak dipandang sekalian makhluk alam. yang bertanya terus melebar sandiwara merebut jiwa dan percaya. ibarat hidup menjalar mencari matahari, sedangkan tanpa sedar menongkah fitrah. biarlah tumbuh melata tidak ke mana, asal tumbuh dan surut mentaati perintah Ilahi. dulu diam tanpa keluar sebarang kata, kini bergelar wira menunjang kisah sebuah perjuangan kononnya, yang baru dibelek helaian perlembagaan semalaman. lancar pena mengarang warkah. bila ditanya, terkuis-kuis mencari pedoman. sedangkan pedoman sudah semakin liar menjalar, melilit dan membelit. dihebahkan hebat pengetahuan luar dan dalam. perihal alam segala tujuh petala dikuasai kata, laku, dan jiwa. berdiam diri tak berkata apa. kerana tahu apa dilaku apa dituju. kisah mudah disusah-susah. membenak jiwa melangkau emosi membelenggu sanubari akan perkara tak pasti. kurnia sifat melihat nampak yang nyata sudah cukup bermakna. tak perlu diluas lagi, rasanya sudah lebih dari perlu. jika diberi, bukanlah pula istimewa boleh menjadi nabi ataupun menikmati makam para wali.

tiada niat mengata keji. kinayah disusun berhati-hati, walau diri tidaklah jati. sedangkan mengarang hal peribadi. hidup di bumi memerah keringat, tak kanlah pula boleh dihilir sungai di syurga, dijauh simpang di neraka. kata bukan untuk dikongsi. cuma sekadar luahan peribadi. boleh diherdik, boleh dimaki. asalkan ia urusan sendiri. bukan utusan wali-wali atau para sufi.




beginikah rupa alam yang satu lagi?